Rasuah RM2 juta jual tanah Felda, 8 ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu dipercayai bersekongkol menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Felda di Melaka.

Sumber berkata mereka yang ditahan di Kuala Lumpur membabitkan tiga broker dan dua orang awam, manakala di Sabah pula melibatkan dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Lima suspek dibenarkan direman tujuh hari sehingga 17 Jun oleh Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Di Sabah, perintah reman selama enam hari sehingga 16 Jun terhadap tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki yang dikeluarkan Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Menurut sumber, tiga broker bersama-sama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu telah memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank berkenaan sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.

“Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai-pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan bahawa urus niaga penjualan tanah itu adalah ‘genuine’ daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan.

“Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini telah menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka telah dijual pada 2023,” katanya.

Katanya, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan