Hishamuddin Aun
Saat gemilang ketika Azizulhasni Awang berdiri megah dikalungkan pingat perak acara keirin di podium Velodrom Izu, Tokyo pada 8 Ogos 2021, lencana di dada kirinya terpampang bendera Malaysia dengan warna-warna rasminya yang menjadi kebanggaan semua.
Seragam hitam dengan jalur-jalur jingga mirip harimau Malaya turut menambah segak pada detik beremosi itu di sebalik pemburuan kontinjen negara terhadap pingat emas pertama Olimpik sejak penyertaan sulung di temasya Melbourne 1956 tertangguh sekurang-kurangnya empat tahun lagi. Namun, tiada apa yang dapat meragut Azizulhasni daripada kejayaan miliknya.
Empat tahun berselang, bukan saja seragam corak harimau yang menjadi identiti baju rasmi kontinjen negara sejak 2004 ‘dibersarakan’, malah Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan negara di dada turut diubah warna kepada keemasan. Hairannya pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap perubahan itu melihatnya sebagai terlalu remeh untuk diperdebatkan, apatah lagi diutamakan.
Sebagai ganti, menyusul rekabentuk baru daripada penaja pakaian sukan Yonex yang mendapat persetujuan cerdik-pandai di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas perkiraan ia mengambil kira konsep rekaan terkini, di samping ia atas ihsan penaja sepenuhnya tanpa suntikan dana daripada kerajaan.
Namun, berlawanan dengan pandangan mereka, pakaian rasmi kontinjen Malaysia yang dilancarkan sempena sambutan Hari Olimpik 2024 di The Exchange, TRX Ahad lalu — turut dihadiri Presiden MOM Norza Zakaria, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Hamidin Mohd Amin, dan Timbalan CDM Nicol Ann David — menerima kecaman teruk warganet.
Segelintir turut menyalahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas rekaan yang disifatkan buruk, ketinggalan zaman, dan tidak sesuai digayakan atlet ketika mewakili Malaysia di luar negara. Selain mempertikaikan rekaan keseluruhan, warganet turut menegur penggunaan bendera Malaysia yang kelihatan berbeza daripada warna asalnya.
“Logo ini adalah logo Majlis Olimpik Malaysia bukan logo bendera Malaysia. Kita ada beberapa warna — oren, emas, hitam, merah, biru — semua boleh dengan gelang-gelang (Olimpik) dia ni — jadi itu tak jadi masalah. Ini logo Olimpik Malaysia, bukan bendera Malaysia tapi dilambangkan macam bendera Malaysia,” Hamidin dipetik berkata.
“Bila perbincangan kita dengan pihak Yonex ni, kita tahu wujudnya daripada kerajaan, MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM untuk kita memburu pingat emas pertama. Jadi, kita semua telah bersetuju dengan Yonex untuk menunjukkan warna emas kerana warna oren yang lama tu dah bermula dari 2004 dah lama.
“Banyak atlet minta pada MOM tiap kali Sukan SEA atau Sukan Asia tukarlah warna lain, rekabentuk lain. Jadi, MOM sepakat dengan Yonex untuk tukarkan gold colour… makna dia we are aiming for the gold. Itu sebenar tema dia,” tambahnya.
Hamidin hanya perlu merujuk kepada foto pakaian Azizulhasni ketika upacara penyampaian pingat peraknya pada Sukan Olimpik Tokyo empat tahun lalu untuk melihat Jalur Gemilang dengan warna-warna rasminya di dada kiri jaguh lumba basikal itu untuk membuat perbandingan jelas dan bukan hanya menurutkan kehendak penaja.
Persoalannya, jika logo MOM pada masa lalu boleh mengekalkan warna asal bendera sepatutnya, mengapa tidak kali ini? Jangan pula kerana misi memburu pingat emas, bendera Malaysia dibolehkan untuk ditukar warna kepada emas juga. Lebih-lebih lagi, jangan kerana ketidakpekaan pegawai-pegawai MOM atau kemungkinan mereka terlepas pandang dan keperluan tunduk kepada rekabentuk penaja, pelbagai alasan kini diada-adakan.
Tidak perlu rasanya diingatkan betapa sensitifnya soal memelihara keaslian bendera negara dan cukup sekadar memberi satu atau dua contoh. Kontroversi pernah tercetus apabila bendera Indonesia tersilap cetak dalam buku cenderamata pembukaan Sukan SEA 2017 yang dianjurkan Malaysia.
Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia Imam Nahrawi memuat naik dua foto di akaun rasmi Twitter miliknya yang menunjukkan bendera Indonesia dicetak terbalik dan ia menimbulkan kemarahan rakyat negara tersebut. Berikutan itu, pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia yang juga menteri belia dan sukan ketika itu Khairy Jamaluddin membalas tweet itu dengan meminta maaf bagi pihak Malaysia.
Ia kesilapan tidak disengajakan dan bukan sebagai tindak balas kerana bendera Malaysia pernah kekurangan satu jalur di bahagian bawah menjadikan 13 jalur sahaja ketika Malaysia menang pingat emas dalam salah satu acara di kolam renang Sukan SEA 2011 yang dianjurkan Indonesia. Selepas itu, pihak tuan rumah segera menukar bendera setelah menyedari kesilapan berkenaan.
Masakan kita mudah lupa kesilapan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) memaparkan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima dalam paparan visual di sebuah stadium ketika upacara pembukaan satu kejohanan pada Nov 2019. Menteri Belia dan Sukan ketika itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak dapat menerima alasan tersilap.
“Budak kecil berumur lima tahun pun boleh tahu yang mana satu bendera Malaysia. Kita marah jika orang asing perlekehkan bendera Malaysia. Kita bagaimana?” soalnya sambil mengarahkan pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil tindakan segera ke atas Maba selain siasatan terperinci KBS manakala Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim menyatakan kertas siasatan turut dibuka.
Kita turut kecewa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh seperti melepas batuk di tangga berkait kontroversi terbaru pakaian rasmi kontinjen Malaysia ini dengan menyatakan pihaknya tidak mempunyai kaitan, sebaliknya menjelaskan ia diuruskan oleh MOM.
“Ia di luar bidang kuasa KBS dan Majlis Sukan Negara,” ujarnya menerusi satu ciapan di laman X pada petang Isnin sedangkan usaha memelihara bendera Malaysia sepatutnya menjadi tanggungjawab semua.
Antara yang bersuara ialah bekas jaguh badminton negara Roslin Hashim yang berasakan pakaian yang baru dilancarkan itu tidak memiliki aura tersendiri.
“Perkara ini menjadi bualan ramai kerana pakaian dalam acara sukan kita sinonim dengan harimau. Jadi, jika kita lihat yang terkini, ia tidak mempunyai identiti. Sekiranya ada yang beranggapan ini hanya satu isu kecil kerana hanya mengenai jersi, mereka tidak tahu ini adalah imej seorang atlet yang mewakili negara,” katanya dipetik Majoriti.
Hujah Hamidin yang juga timbalan presiden MOM bahawa rata-rata atlet negara yang bakal beraksi di Paris bersetuju dengan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara masih boleh diterima tetapi alangkah baiknya jika perjuangan mereka diiringi bendera Malaysia dengan warna-warna rasminya tersemat di dada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan