Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kejadian kecurian tabung masjid yang berlaku di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, di sini baru-baru ini.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office, baginda amat murka dengan pelaku berkenaan yang tergamak mencuri duit tabung masjid hasil sumbangan dan sedekah orang ramai, yang bertujuan untuk kesejahteraan umat Islam di kariah berkenaan.
"Baginda mengingatkan bahawa perbuatan mencuri adalah perbuatan keji dan satu dosa besar khususnya apabila membabitkan kebajikan golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim.
"Baginda juga menzahirkan kekecewaan terhadap pihak pengurusan jawatankuasa (AJK) Masjid Tengku Ampuan Jemaah kerana tidak melaporkan kejadian berkenaan secara rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," menurut kenyataan itu tadi..
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin tidak mahu kelalaian seumpama ini berulang lagi.
"Baginda menitahkan agar AJK masjid mengambil langkah-langkah pencegahan awal yang lebih berkesan, antaranya dengan mengetatkan kawalan keselamatan dan memastikan CCTV sedia ada boleh berfungsi dengan baik.
"Baginda berharap kejadian kecurian tabung masjid sebegini dapat dibendung dan tidak akan berlaku lagi di mana-mana masjid dan surau khususnya di negeri Selangor," demikian kenyataan baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan