Wanita disyaki promosi aktiviti persundalan, jual video seks ditahan polis

Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my

Kajang: Wanita yang disyaki mempromosi aktiviti seks dan menjual video melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki di sosial media ditahan polis dalam serbuan di kediaman mewahnya di Bandar Bukit Mahkota, Bangi di sini, semalam.
 
Aktiviti wanita berusia 27 tahun yang turut menjual ubat kuat lelaki itu didapati menggunakan nama pelacur kelas atasan popular di Jepun untuk akaun media sosialnya berjaya dibongkar pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam serbuan pada 4 petang.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki serta wanita Indonesia berusia antara 17 hingga 26 tahun.

Menurut sumber, polis yang menerima maklumat mengenai aktiviti promosi seks dan penjualan video seks di media sosial termasuk aplikasi Telegram yang disyaki dikendalikan seorang wanita bertindak menjalankan risikan selama beberapa hari.

"Hasil risikan dijalankan, polis menyerbu sebuah kondominium di Bandar Bukit Mahkota dan menahan lima individu terbabit.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menjumpai beberapa produk perangsang seks lelaki dan produk penjagaan dalaman wanita disyaki barangan jualan mereka.

"Polis turut merampas komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai lebih RM30,000," katanya.

Sumber berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan turut menemui pelbagai rakaman video seks dan seorang wanita yang ditahan adalah pemilik akaun aplikasi Telegram mempromosikan aktiviti seks terbabit.

Katanya, kesemua mereka disyaki terbabit aktiviti mempromosikan seks dan penjualan video seks di aplikasi Telegram serta media sosial sebagai pendapatan mereka.

Berikutan itu, sumber berkata, kesemua mereka direman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan