Warga asing tak takut memandu tanpa lesen

AMRAN MULUP

MELAKA – Tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita dan menyaman tidak langsung ditakuti warga asing yang masih lagi berani memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sebanyak 12 kenderaan dipandu warga asing telah disita kerana melanggar syarat dan peraturan ditetapkan dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Piatu di sini, malam tadi.

Menurutnya, sebuah lagi kenderaan yang disita adalah milik warga tempatan atas kesalahan memandu ketika lesennya digantung.

“Kesemua warga asing terlibat menunggang lapan motosikal dan lima kereta dengan kesalahan paling utama dikesan tiada lesen memandu. Mereka terdiri daripada dua warga Indonesia, Bangladesh (tujuh) Pakistan (dua) dan Rohingya (satu).

“Sebanyak 187 notis kesalahan dikeluarkan termasuk 165 saman dikenakan terhadap penunggang motosikal dan pemandu kereta dalam operasi ini.

“Kita telah memeriksa 495 kenderaan membabitkan 330 motosikal dan 165 lain-lain kenderaan di mana sebanyak 220 pelbagai kesalahan dikesan. Sebanyak 201 kenderaan telah diambil tindakan di samping 187 notis telah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita.

Tambah Muhammad Firdaus, pihaknya juga berjaya mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu dengan lesennya digantung lima tahun dari 13 Julai 2022.

Menurutnya, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 40-an, selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Di samping itu, sebanyak 75 bas ekspres telah diperiksa di Terminal Bas Melaka Sentral di mana dua bas telah diambil tindakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan