Ahli kariah surau dakwa dapat info ‘agenda rahsia politik PMX’ yang mahu bergabung dengan Israel

Harapandaily

Seorang ahli kariah Surau Al-Islah mengejutkan orang ramai apabila mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai ‘agenda rahsia politik’ yang mahu bergabung dengan Israel.

Tangkap layar daripada kumpulan WhatsApp yang tersebar itu memaparkan individu bernama Hassan Kamal yang kononnya mendapat maklumat tersebut daripada ‘setiausaha sulit orang politik’.

Lelaki berkenaan mendakwa agenda mahu bergabung dengan pengganas dunia nombor satu itu, menurut PMX kerana perang dunia ketiga akan meletus tidak lama lagi.

“Jadi, bila semua aset strategik kerajaan diberikan kepada Israel, Israel dan Amerika tak akan serang Malaysia sebab kepentingan Israel ada dalam Malaysia,” tulisnya.

Hassan kemudiannya mengulangi kenyataan “dapat info” ketika menjawab soalan salah seorang ahli kumpulan WhatsApp berkenaan sama ada dia sudah tabayyun atau menyemak kebenaran maklumat itu terlebih dahulu.

Malah, individu sama juga mengulangi tuduhan berat yang serupa dalam satu hantaran di Facebook.

“Pemilikan aset strategik negara oleh negara haram Israel mungkin adalah salah satu strategi ketenteraan kerajaan selain dari meningkatkan ekonomi untuk mengelakkan Malaysia dari diserang Amerika dan Israel jika meletus perang dunia ketiga,” katanya.

Tuduhan beratnya itu turut melampirkan berita dari portal BenarNews bertajuk,”PM Anwar Ibrahim pertahan Blackrock, firma Amerika miliki saham MAHB.”

Rata-rata pengguna X berpendapat dakwaan ahli kariah surau terbabit perlu disiasat pihak polis.

“Info dari sumber mana? Besar isu ni. Kaki sebar fitnah berlambak-lambak dah di media sosial.

“Geng terpaling teori konspirasi.

“Kasi report (polis), nak sangat dok dalam (penjara),” demikian antara komentar warganet.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan