FMT Reporters
Sumber berkata Azmin Ali memberitahu perkara itu kepada pimpinan PN Selangor kerana ingin fokus tawan negeri pada pilihan raya akan datang.
PETALING JAYA: Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali dikatakan menolak cadangan melantiknya sebagai setiausaha agung parti itu yang diumumkan Presiden Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu.
Menurut sumber, ketua pembangkang DUN Selangor dan Adun Hulu Kelang memberitahu perkara itu kepada ketua bahagian Bersatu di Selangor, beberapa hari selepas ‘pelan kompromi’ berkenaan diumumkan.
“Azmin dengan penuh prinsip tolak jawatan berkenaan dan mahu fokus kepada PN Selangor yang diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Namun, ada juga ura-ura Azmin tak sanggup ‘downgrade’ dirinya daripada menang timbalan presiden PKR untuk menjadi setiausaha agung yang dilantik, kata sumber itu kepada FMT.
Azmin memegang jawatan timbalan presiden PKR sejak 2010 sebelum dipecat parti itu pada Februari 2020 susulan ‘Langkah Sheraton’.
Pada Konvensyen Bersatu Sabtu lalu, Muhyiddin berkata Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dicadangkan memegang jawatan timbalan presiden, manakala Azmin menggantikan kedudukan sedia ada Hamzah, menerusi ‘pelan kompromi’ bagi mengelakkan pertembungan jawatan tertinggi.
Mengikut rundingan, Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu akan berundur setapak untuk bertanding naib presiden bersama dua penyandang, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.
Semalam, Sinar Harian melaporkan Azmin berkata beliau mahu bertemu Muhyiddin susulan tawaran jawatan setiausaha agung Bersatu dan menyatakan bekas perdana menteri itu ‘sedia maklum pandangannya’.
FMT menghubungi Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor untuk mendapatkan pengesahan.
Sebelum ini, timbul spekulasi pertandingan bagi jawatan timbalan presiden Bersatu membabitkan Faizal selaku penyandang, dan akan dicabar Hamzah. Namun, difahamkan Azmin hanya akan merebut tempat dalam barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan parti Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan