KOSMO!
SMITH menunjukkan kononnya sijil Guinness World Records kerana memasak paling lama. - Foto Facebook
ACCRA – Seorang cef di Ghana yang mendakwa telah memecahkan rekod dunia kerana memasak tanpa henti paling lama telah ditahan kerana berbalah dengan penaja, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Ebenezer Smith mengadakan sidang akhbar sebelum ini bagi mengumumkan bahawa dia ialah pemegang rekod dunia baharu selepas memasak secara berterusan selama 802 jam dan 25 minit.
Dia turut menunjukkan sijil kononnya daripada Guinness World Records, mengesahkannya sebagai pemegang rekod dunia.
Bagaimanapun, kelmarin, seorang jurucakap Guinness memberitahu BBC bahawa dakwaan itu tidak benar dan menambah, sijil tersebut bukan daripada Guinness World Records.
Tukang masak itu ditahan polis sejurus selepas mengumumkan menerima sijil itu yang sebenarnya palsu.
Smith ditangkap kerana berbalah dengan penajanya, Pusat Beli-Belah Amadia di Accra yang merupakan tempat dia memasak selama lebih 802 jam itu pada Mac lalu.
Pihak penaja menuduhnya melanggar kontrak kerana tidak memaklumkan kepada mereka tentang perkembangan baharu berhubung sijil palsu itu. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan