Disangka tidur lama, rupanya sudah meninggal dunia 30 jam

Agensi

Beijing: Pekerja di sebuah kafe internet di timur China tidak menyedari selama 30 jam bahawa seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia di dalam premis mereka, sebaliknya menganggap dia tertidur, lapor South China Morning Post.

Lelaki itu memasuki kafe di Wenzhou, wilayah Zhejiang, pada 1 Jun untuk sesi permainan video yang panjang.

Seorang pekerja kafe menghubungi polis pada 10 malam, 3 Jun lalu, selepas lelaki itu, yang terbaring di atas meja komputer, tidak bertindak balas.

Pekerja itu juga dalam laporannya berkata, tubuh individu terbabit didapati menjadi sejuk, yang mendorongnya untuk menghubungi polis.

Lelaki itu, yang identitinya tidak didedahkan secara terbuka, sebelum ini meninggalkan kafe itu pada 6 pagi, 2 Jun lalu, untuk bersarapan.

"Berdasarkan baki sarapan yang ditinggalkan di atas meja, dia tidak makan tengah hari pada 2 Jun. Dia mungkin meninggal dunia secara mengejut pada pagi 2 Jun," kata seorang pegawai polis.

Adik ipar lelaki itu yang bernama Chen berkata, waktu kematian sebenar tidak disahkan kerana keluarganya tidak membenarkan pakar patologi melakukan bedah siasat.

Chen mempersoalkan mengapa kematian abang iparnya tidak dikesan lebih awal.

"Dia duduk di kawasan lapang dan bukannya bahagian tertutup. Sepatutnya ada pekerja yang memeriksanya dan menyedari kelakuannya yang pelik," kata Chen.

Pemilik kafe internet itu berkata, lelaki yang maut itu adalah pelanggan tetap yang mengunjungi premis itu hampir setiap hari dan menghabiskan kira-kira enam jam setiap kali kunjungan.

Dia berkata, dua pekerja yang bekerja pada masa itu tidak menyedari lelaki muda itu 'tidur' terlalu lama.

"Pekerja menyangka dia sedang berehat, jadi mereka tidak mengejutkannya. Selalunya, apabila kita membangunkan pelanggan yang sedang tidur, mereka menjadi marah dan memarahi kita," katanya.

Kes itu masih dalam siasatan, menurut polis tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan