Diseret sejauh 80 meter, wanita parah terperosok di bawah lori kontena

Samadi Ahmad
bhnews@bh.com.my
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori kontena di bulatan berdekatan Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA - Foto ihsan bomba
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori kontena di bulatan berdekatan Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA - Foto ihsan bomba
PUTRAJAYA: Seorang wanita parah selepas terperosok di bawah lori kontena dan diseret sejauh kira-kira 80 meter selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan di bulatan berdekatan Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata kemalangan itu membabitkan dua wanita yang menunggang motosikal.

Beliau berkata, JBPM menerima panggilan kecemasan jam 3.22 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebuah jentera dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian dan sejurus tiba, anggota bomba mendapati, kemalangan membabitkan sebuah lori kontena dan motosikal ditunggang dua wanita.

"Seorang daripada mangsa yang terjatuh dan tersepit di bawah tayar lori kontena itu cedera parah dan berjaya dikeluarkan anggota bomba. Rakannya pula mengalami cedera ringan.

"Kedua-dua mangsa berusia 25 dan 39 tahun kemudian dibawa ke Hospital Cyberjaya dengan EMRS dan ambulan Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan