Dua beradik kritikal termakan keropok ada racun tikus

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Bungkusan makanan ringan yang digantung dawai besi pagar yang mengandungi racun tikus bagi tujuan untuk perangkap monyet yang dimakan dua beradik berusia dua dan tiga tahun. FOTO IHSAN PDRM
Bungkusan makanan ringan yang digantung dawai besi pagar yang mengandungi racun tikus bagi tujuan untuk perangkap monyet yang dimakan dua beradik berusia dua dan tiga tahun. FOTO IHSAN PDRM
Kulim: Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal selepas makan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini semalam.

Ringkasan Berita 
  • Dua beradik kritikal selepas termakan keropok beracun tikus di Labu Besar.
  • Keropok itu digantung di pagar kebun untuk perangkap monyet.
  • Polis sedang mengesan suspek disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan.
Difahamkan lokasi kejadian terletak berhampiran rumah kedua beradik itu di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa yang berusia 25 tahun pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar yang mengandungi racun bagi tujuan untuk perangkap monyet.

Katanya, kebun itu dipercayai milik penduduk berhampiran rumah dua beradik itu.

"Kedua-dua mangsa dipercayai membuka dan makan makanan ringan itu.

"Tidak lama kemudian ibu mangsa kemudian mendapati anak-anaknya muntah dan mulut berbuih pada jam 11 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azizul berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan HK mendapati kedua-dua beradik itu berada dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata, mereka kemudahan dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis sedang mengesan suspek yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan