Ronasina
Istilah durian ‘mangkaq’ merujuk kepada isi durian gugur yang keras, mengkal dan tak sedap dimakan. Manusia mangkaq pula merujuk kepada teruknya perangai.
“Oh! komer, durian dah berbunge, moh kite minang anok dare.”
Minggu lepas saya ke Kulim. Musim durian sudah tiba di sebelah utara sana. Seperti kebanyakan kita, bak kata lagu Durian dah Berbunga nyanyian Os pada intro tulisan ini, ‘musim durian banyak sedara-mara, bila nebas sekor tak nampak muka’. Saya pun menghubungi saudara di Kulim bertanyakan musim durian di sana. Cik Wan, saudara saya pun menjemput kami bercuti di kebunnya kerana durian sudah mulai luruh. Ini peluang baik, fikir saya yang seperti anda semua memang tak pernah pun selama ini menawarkan bantuan untuk kerja-kerja menebas tapi bila musim buah sampai tiba-tiba terus muncul.
Cik Wan dan isterinya dapat beli tanah kebun siap sudah ada beberapa batang pokok durian yang sudah besar. Ini berlaku selepas wabak Covid-19 melanda beberapa tahun lalu. Kerana bosan berkurung di rumah, dia mencari-cari tanah tepi sungai untuk ‘healing’. Rezeki dia, dapat. Tepi sungai yang jernih melata airnya. Dibinanya teratak ala chalet, sebuah pondok jaga durian, kemudahan bilik air dan dapur tempat memasak.
“Memang kalau bukan musim durian pun, abang dah lama teringin ke sini. Seronok tengok gambar-gambar sungai yang Cik Wan tunjuk,” kata saya berbasa-basi sambil mata menjeling ke arah kereta sorong yang penuh berisi durian. Durian kampung, weh! Tak macam durian kahwin yang sejenis saja rasanya. Sebiji durian kampung rasanya tak sama dengan sebiji yang lain. Ada yang isinya nipis, ada yang tebal. Ada yang manis, ada yang kelat pahit. Itulah yang sedap. Tapi ada juga yang ‘mangkaq’.
Di utara istilah durian mangkaq merujuk kepada isi durian gugur yang keras, mengkal dan tak sedap dimakan. Manakala manusia juga ada yang mangkaq. Istilah mangkaq jika untuk manusia pula merujuk kepada teruknya perangai.
“Mangkaq betui hang ni,” seranah seseorang apabila dia bengang dengan sikap kawannya. Jadi, musim durian ini bukan sahaja durian saja mangkaq, manusia mangkaq pun wujud. Macam-macam karakter manusia mangkaq muncul pada musim ini.
“Kena banyak bersabar sikit, bang,” kata Cik Wan. Seperti rangkap dalam lagu Os itulah, musim durian luruh ini jika kebun kita jauh dari rumah amat berisiko. Bila durian luruh cepat-cepatlah pergi suluh.
“Lambat sikit komer dapat habuk, Kalau tido jawabnya tinggal pokok…”
Manusia-manusia mangkaq selamba sahaja boleh menceroboh masuk mengambil buah kita. Ambil sebiji dua tak mengapa lagi, ini siap bawa bakul. Entah-entah pergi jual di tepi jalan. Kerana buah durian, manusia boleh jadi setan!
“Jiran sebelah kebun saya ini pun ada pondok tunggu durian juga. Dia menunggu buah-buah dari pokok kami yang gugur masuk ke tanahnya. Dia berpegang pada hukum bahawa jika buah jatuh ke tanah orang lain maka buah tersebut bukan lagi menjadi milik tuan punya pokok sebaliknya menjadi hak tuan tanah sebelah. Dalam kes ini, buah-buah yang jatuh ke dalam kawasannya adalah milik mutlak dia,” cerita Cik Wan.
“Setiap hari pada awal pagi dan lewat petang, dia akan meronda keliling tanahnya mencari kalau-kalau ada buah orang gugur di kawasannya. Jika tiada, dia pergi jumpa tuan pokok dan marah-marah. Dia mengesyaki tuan pokok telah masuk ke tanahnya untuk mengutip buah gugur yang sudah pun menjadi haknya.
“Dah dua hari saya tak dapat buah. Jangan sampai saya tebang pokok ini!” ugut si mangkaq ini kepada jiran Cik Wan yang lagi satu, yang memiliki lebih banyak pokok durian. Wah! Memang ada perangai manusia macam ini, ya?
Saya ‘menyirap’ juga mendengar cerita Cik Wan. Awal-awal dulu Cik Wan pun kena buli juga tetapi dek kerana Cik Wan ini agak ‘gedebe’ sedikit maka si mangkaq ini perlahanlah sikit rentaknya. Tetapi sesekali dia cuba juga menduga-duga kesabaran saudara saya ini dengan kerenahnya yang mengarut. Apa yang saya faham, kawasan situ adalah tanah tok-nenek dia yang telah pun dijual tetapi dia masih berasa yang dia punya saham di situ. Ibarat kita sudah jual kereta kita kepada kawan kita tetapi anak kita tetap berasa yang dirinya boleh bila-bila masa sahaja pandu kereta tersebut. Kelakar juga pemikiran begini, kan?
Segera saya teringat kisah saya dan isteri yang membuat rumah di kampung selepas tamatnya gelombang pertama pandemik dulu. Kami kini duduk di kampung dan kawan-kawan pun selalu kata kepada kami alangkah seronoknya. Pastilah hidup kami aman-damai di kampung. Seperti Cik Wan inilah, boleh saya kata; segalanya tidaklah seindah syurga atau semudah yang disangka. Selagi urusan kita ada sangkut-paut dengan manusia pasti kita tidak akan temui ketenangan 100%. Akan ada saja halnya yang membuat kedamaian kita terganggu. Pasti akan ada manusia mangkaq yang menyibuk bikin kacau. Tidak tahu kenapa mereka ini diutuskan untuk merosakkan ‘mood’ kita. Kediaman kita diceroboh lembu dan kambinglah, manusia selamba masuk pasang jaring ikan di sungai dalam kawasan kitalah. Petik buah kitalah! Memang boleh gugur jantung dibuatnya! Memang menuntut kesabaran yang bukan main-main.
“Ada lagi menarik bang. Tuan kebun yang sebelah sana tu duduk di KL. Bila kebun duriannya mula berbuah dia pun balik. Dia bertemu dengan seorang ‘lebai’ kampung ni. Lebai tersebut memberi amaran agar berhati-hati sebab katanya selain hantu pocong, di kebun jiran saya itu ada seekor harimau besar bersama dua ekor anaknya selalu masuk. Tuan tanah ini pun baliklah sebab takut,” cerita Cik Wan.
“Memang betul bang! Bila ditinjau di CCTV memang ada satu lembaga besar bersama dua lembaga kecil tapi bukan rimau,” sambung Cik Wan.
“Bukan rimau? Habis tu apa? Babi? Beruang? Harimau kumbang? Tenuk?” tanya saya sambil mengeluarkan sebiji durian daripada bakul untuk dikopek.
“Bukan,” kata Cik Wan. “Nampak kat CCTV tu lebai yang bercakap itulah, bersama dua anaknya dok merayau dalam kebun dan kutip buah yang luruh.”
Saya ketawa kuat sambil menggelengkan kepala. Apa nak jadi manusia ni? Kuat sungguh tarikan durian sehingga manusia ‘warak’ pun boleh bertukar jadi harimau jadian kalaupun tidak menjelma sebagai pocong atau langsuir. Haru!
Kisah manusia mangkaq ini sebenarnya bukanlah kecil dan bukanlah bermusim. Selagi bernama manusia tiada apa yang pelik. Bukan di kebun durian sahaja, di mana-mana sahaja manusia berkumpul pasti ia akan berlaku. Di desa, di bandar, di pejabat, di menara tinggi, di jabatan-jabatan memang berlaku buli-membuli, berasa diri lebih berhak, berasa kedudukan terancam dengan orang baru, sabotaj, acum-mengacum, ampu dan adu domba adalah permainan bagi mereka yang berasa dirinya lebih kuat dan berkedudukan. Tak tahu mengapa manusia begini tidak rasa bersalah mengenakan orang lain. Padahal mendakwa amal ibadat tak pernah tinggal. Solat, puasa, zakat dan haji buat selalu. Mengapa amal ibadat tersebut masih tidak berupaya membuang penyakit di dalam hati mereka?
Kita manusia memang jauh daripada kesempurnaan. Kita semua penuh dengan cacat-cela. Setiap hari kita pasti akan melakukan kesilapan dan melukakan perasaan orang lain. Tetapi itu sikap buruk kita yang bukan sengaja kita lakukan. Kita tidak berniat untuk mengganggu orang lain tetapi sikap semula jadi kita itu telah bertembung dengan sifat manusia lain, maka perselisihan berlaku tanpa masing-masing sengaja merancang berbuat begitu. Ini normal sebenarnya. Yang menjadi masalah besar ialah mengapa kita tanpa rasa bersalah, dengan sengaja mengganggu orang lain dan berlaku zalim terhadap mereka? Mangkaq betul!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan