Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat mustahil melihat kerjasama PAS, Bersatu dan Umno pada PRU16 jika semuanya gagal mengetepikan ego serta memikirkan keuntungan parti sendiri semata-mata.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya mencadangkan tiga parti itu mengetepikan ketaasuban politik manakala Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan agak skeptikal terutama penerimaan Bersatu yang dijangka rugi jika PAS dan Umno bekerjasama.
Menurut Awang Azman, kerjasama tidak seharusnya terhad kepada tiga parti terbabit namun perlu diperluaskan kepada Amanah jika ingin bergerak serta menyokong agenda Melayu.
Seterusnya bergerak ke depan serta mendukung kepimpinan perdana menteri (Anwar Ibrahim) yang juga sebahagian besar kepimpinan Melayu, katanya kepada FMT.
Beliau mengulas perkembangan baharu berkait kerjasama parti Melayu menjelang PRU16 susulan kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, Isnin lalu mendakwa berlaku siri pertemuan PAS bersama pemimpin Umno.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi kelmarin menyifatkan pertemuan yang tidak membabitkan dirinya itu dibuat secara peribadi dan bukan rasmi.
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, dalam maklum balasnya berkata parti itu tidak mempunyai syak wasangka terhadap PAS dengan perkembangan tersebut malah menyambut baik demi permuafakatan parti Melayu.
Azmi berpendapat respons positif Bersatu terhadap kerjasama itu mungkin tidak mahu dilihat enggan menyokong agenda penyatuan parti Melayu yang menjadi sebahagian prinsip perjuangannya.
Namun menurutnya, pada masa sama Bersatu juga pasti bimbang kerana mereka akan rugi kerana kebergantungan terhadap kekuatan PAS.
“Bagi saya Umno tidak memerlukan Bersatu kerana akan berlaku pertindihan kerusi.
Bersatu juga akan menjadi tidak relevan jika kerjasama Umno-PAS dalam Muafakat Nasional 2.0 berjaya, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan