Guan Eng tuntut Afif mohon maaf, bayar ganti rugi RM5 juta

SITI NUR ZAWANI

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memfailkan tindakan undang-undang, menuntut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Ia berhubung ucapan ADUN Taman Medan pada ceramah umum PRK Kuala Kubu Baharu 2 Mei lalu, mendakwa ketika Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, tiada peruntukan diberi kepada Majlis Bumiputera Pulau Pinang.

Dalam notis tuntutan melalui Tetuan SN. Nair & Partners, Guan Eng menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan ia sama sekali tidak benar.

Notis itu mendakwa ucapan Afif telah menyebabkan klien (Guan Eng) tiada pilihan lain selain memulakan tindakan undang-undang untuk mempertahankan reputasi dan kehormatannya.

Guan Eng menuntut agar Afif menarik balik kenyataannya serta merta dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.

Turut dituntut adalah surat aku janji bertulis supaya ahli Bersatu itu tidak mengulangi dakwaan tersebut.

Sebagai ganti rugi kerana merosakkan reputasi, Guan Eng menuntut sejumlah RM5 juta.

Menurut notis saman yang dilihat Harapan Daily, ucapan Afif didakwa berunsur fitnah dan diterbitkan dengan niat jahat demi menimbulkan ketegangan

Ia juga seolah memberi gambaran Guan Eng selaku Menteri Kewangan waktu itu tidak mengambil berat terhadap bumiputera di Pulau Pinang dan seorang menteri yang tidak bertanggungjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan