“Ipar adalah maut versi Pulau Pinang”, lelaki terkejut isteri curang, lahirkan anak biras

MALAYSIADATELINE

“Saya yang sambut dan azankan. Tiga tahun berbintikan nama saya,” berikut luahan seorang bapa yang kesal apabila mendapat tahu anak dilahirkan isteri bukanlah zuriat kandungnya.

Lebih memburukkan keadaan, bapa kandung kepada anak perempuan yang sangat disayanginya itu bukanlah orang lain sebaliknya adik ipar sendiri iaitu suami adiknya.

Rupa-rupanya, isteri lelaki terbabit iaitu Shaz (bukan nama sebenar) telah menjalin hubungan terlarang dengan birasnya yang dikenali sebagai Khal (bukan nama sebenar) di luar pengetahuan suaminya.

Lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Putra itu memberitahu hubungan sulit bekas isterinya telah terbongkar pada tahun lalu namun wanita terbabit masih berterusan memfitnahnya.

Bukan sahaja bermati-matian membuat pengakuan anak ketiganya itu adalah zuriat kandung Putra, wanita berkenaan turut mendakwa bahawa bekas suaminya enggan bertanggungjawab ke atas kanak-kanak terbabit kepada ahli keluarga lain.

Selepas mendapatkan pandangan peguam, Putra terus membuat ujian paterniti asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kanak-kanak dikenali sebagai Putri di sebuah klinik swasta dekat Ampang, Selangor pada 26 Disember 2023.

Sekiranya anda mengalami sakit di pinggul dan lutut, baca ini!

Lemah longlai kaki ahli perniagaan terbabit selepas sahaja mendapati hasil ujian DNA yang keluar pada 4 Januari baru-baru ini mengesahkan budak perempuan tersebut bukan anak kandungnya.

“Saya amat terkejut dan terus menghubungi ahli keluarga bagi memberitahu perkara berkenaan. Sehari selepas itu, kami sekeluarga pergilah ke rumah bekas mentua di Pulau Pinang untuk mendapatkan penjelasan daripada bekas isteri sambil membawa  laporan DNA.

“Namun Shaz dan keluarganya malah menganggap saya menipu dan berulang kali menegaskan bahawa Putri anak kandung kami,” katanya menerusi satu pendedahan eksklusif bersama Majoriti.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, bekas bapa mentua menghubunginya pula dan menyatakan hasrat untuk berjumpa untuk berbincang mengenai perkara tersebut di rumah Putra yang terletak di Perak.

Perjumpaan tersebut turut dihadiri oleh Khal iaitu bekas adik ipar Putra yang tegas menyangkal bahawa Putri adalah anaknya dan sanggup melakukan ujian DNA untuk mendapatkan pengesahan.

“Dia buat ujian itu pada 11 Januari di klinik sama dan Keputusan yang keluar pada 23 Januari menunjukkan Khal sememangnya bapa kandung kepada Putri dengan padanan sebanyak 99.99 peratus,” jelasnya yang menikahi bekas isteri pada tahun 2010 lalu.

Jelas Putra, tekad untuk menghebahkan hal tersebut kepada pihak media berpunca daripada reaksi bekas keluarga mentua yang masih berkeras membela bekas isteri meskipun telah menunjukkan bukti ujian DNA.

Mengulas lanjut, Putra mendedahkan bahawa hubungan sulit di antara bekas isteri dan bekas adik iparnya itu sebenarnya sudah terjalin di luar pengetahuannya lebih lima tahun yang lalu.

Tembelang mereka hanyalah terbongkar selepas Putra terjumpa butiran panggilan telefon antara pasangan berkenaan menerusi telefon pintar Shaz pada tahun 2019.

Putra dan Shaz kemudian memutuskan untuk tinggal berasingan selama enam bulan sebelum bekas isterinya merayu dan mereka kembali bersama demi masa depan anak-anak sehingga wanita itu mengandung zuriat ketiga.

Namun tidak lama kemudian, Putra menemui bukti perbualan antara Shaz dan Khal menerusi aplikasi Signal selain rakaman suara dan alamat aplikasi penghantaran makanan yang menunjukkan mereka masih menjalinkan hubungan.

“Selepas telefon pintar bekas isteri berada di tangan, saya mendapati sistem aplikasi penghantaran makanan sejak tahun 2020 hingga 2021 menunjukkan bahawa semua makanan dihantar ke rumah adik ipar saya dan beberapa hotel di Pulau Pinang,” ujarnya.

Jelas lelaki yang berusia 38 tahun itu, dia dan bekas isteri menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) sebelum ini kerana wanita berkenaan mahu menumpukan perhatian pada proses pembelajaran ijazah doktor falsafah (PhD) secara atas talian.

Hasil perkahwinan dengan Shaz, Putra memiliki dua anak lelaki masing-masingnya berusia 12 dan sembilan tahun namun lelaki berkenaan begitu menyayangi kesemua zuriatnya termasuk Putri.

“Saya menetap di Perak untuk menguruskan bisnes, manakala bekas isteri dan anak-anak tinggal bersama bekas keluarga mentua di Pulau Pinang untuk sementara waktu.

“Selepas bercerai pada 17 Januari yang lalu, anak-anak tinggal bersama bekas isteri. Walaupun tak sebumbung, saya tetap memberikan nafkah kepada mereka. Saya sangat menyayangi Putri kerana memang mahu memiliki cahaya mata perempuan.

“Meskipun mengetahui hakikat dia bukan anak kandung, saya tetap tidak lupa untuk berjumpanya bersama anak-anak lain dan bersedia memberikan yang terbaik untuk masa depannya kelak. Sebab anak kecil ini tidak bersalah,” luahnya dalam nada pilu.

Selain berkongsi rasa terkilan kerana harus menjaga batas pergaulan selepas Putri dewasa kelak, Putra juga menjelasnya bahawa adik perempuannya dan Khal juga sudah bercerai pada Januari tahun ini.

Dengan pendedahan tersebut, Putra berharap bekas isteri berhentilah menuding jari dan menuduhnya culas menjalankan tanggungjawab terhadap Putri yang kononnya adalah anak kandungnya itu.

Fitnah tersebut bukan sahaja satu bentuk penganiayaan terhadap Putra tetapi juga kepada kanak-kakak berusia tiga tahun terbabit yang langsung tidak berdosa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan