Kelantan: Wanita warga emas ditemukan maut dalam keadaan tertiarap dan melecur dalam bilik air

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan seorang wanita warga emas di Kampung Bukit, Wakaf Bharu. FOTO Siti Rohana Idris.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan seorang wanita warga emas di Kampung Bukit, Wakaf Bharu. FOTO Siti Rohana Idris.
Tumpat: Wanita warga emas ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bukit, Wakaf Bharu, malam ini.

Mangsa, Halimah Awang, 85, yang tinggal berseorangan ditemukan anggota bomba di dalam bilik air dalam keadaan tertiarap dan melecur di beberapa bahagian tubuh.

Saksi yang ingin dikenali sebagai Mizi, 40-an, berkata, sebelum kejadian kira-kira 7.30 malam itu berlaku, dia terdengar bunyi petir sangat kuat.

Katanya, beberapa minit kemudian dia ternampak api dari rumah mangsa yang hanya berjarak kurang 100 meter dari rumahnya.

"Saya segera ke rumah mok su (mangsa) dan sebaik tiba, saya nampak api sedang marak di ruang tengah dalam rumah dan anaknya yang tinggal di sebelah rumah memberitahu ibunya ada di dalam.

"Saya bertindak mengelilingi rumah mok su untuk mencari jalan memasukinya namun api semakin marak dan saya cuba memecahkan beberapa keping cermin tingkap sambil cuba memanggil mok su tapi langsung tidak kedengaran suaranya," katanya ketika ditemui di sini, malam ini.

Mizi berkata, dia dan beberapa penduduk kampung yang turut berada di lokasi tidak dapat berbuat apa-apa selain mampu menghubungi pihak bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Nazah Nafi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.03 malam dan seramai 19 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Tunjong bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, kebakaran sudah 70 peratus dan selepas api dapat dikawal pada jam 8.37 malam, kami menemui mangsa di dalam bilik tidur dalam keadaan tertiarap.

"Beberapa anggota badannya melecur dan mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk tindakan lanjut," katanya sambil memberitahu punca kebakaran masih dalam siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan