Kereta terbabas ke takungan najis ketika pecut dari lokasi nahas

Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Keadaan kereta dipandu lelaki yang terbabas ke takungan najis selepas terbabit kemalangan dengan penghantar makanan
Keadaan kereta dipandu lelaki yang terbabas ke takungan najis selepas terbabit kemalangan dengan penghantar makanan
SUNGAI PETANI: Dipercayai akibat ketakutan selepas melanggar motosikal penghantar makanan, seorang pemandu kereta Honda City yang memecut meninggalkan lokasi terbabas ke dalam takungan najis.

Kejadian berlaku di Jalan Sepuluh berhampiran stesen minyak di Taman Seri Wang, dekat sini, semalam.

Kejadian itu turut ditular di media sosial oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku pada jam 4.25 petang semalam membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai sedang bergerak di laluan lurus sama arah dengan penunggang motosikal.

"Namun apabila sampai di lokasi kemalangan, pemandu kereta itu dipercayai terlepas simpang dan membelok ke sebelah kiri jalan (laluan keluar simpang) dan melanggar penunggang motosikal Honda C100 itu yang berada di sebelah kiri.

"Pemandu kereta itu meninggalkan lokasi kemalangan kerana ketakutan namun kemudiannya terbabas ke dalam kawasan takungan najis lebih kurang 100 meter dari lokasi kejadian kemalangan pertama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, penghantar makanan berusia 19 tahun itu mengalami cedera di dahi, pipi, calar tangan dan kaki.

Beliau berkata, pemandu kereta itu pula mengalami cedera di dahi dan belakang badan.

"Hasil siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu kereta itu kerana hilang kawalan dan melanggar penunggang motosikal.

"Kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan