Kes bunuh Nur Farah Kartini: Pekerja kebun ubi jadi saksi?

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Seorang pekerja kebun ubi diambil keterangan berhubung kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Difahamkan kebun ubi yang dikatakan diusahakan secara sambilan oleh anggota polis berusia 26 tahun itu, terletak kira-kira 30 hingga 40 kilometer dari lokasi mangsa ditemukan mati.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan umur individu berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan polis.

"Ya. Kita dalam proses mengambil keterangan," katanya ringkas ketika dihubungi, malam ini.

Ketika ditanya mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Tanjung Malim yang dipercayai menjadi lokasi 'persinggahan' sebelum mangsa dibawa ke ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Ahmad Faizal berkata perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Malam ini polis nak perincikan lokasi-lokasi tersebut. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak hari ini menjadi tumpuan pasukan forensik dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencari bahan bukti.

Siasatan mendapati kebun ubi itu diusahakan suspek berusia 26 tahun secara sambilan.

Pada masa sama, polis juga sedang melakukan proses analisa ke atas kad sim dan kereta jenis Toyota Vios milik suspek.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan