Mohsin Abdullah
Ada pihak kata enam bekas Ahli Parlimen Bersatu mesti kosongkan kerusi. Ada pihak kata tak perlu. Masing-masing melihat akta antilompat parti dan Perlembagaan mengikut interpretasi tersendiri.
Oleh kerana kemelut yang dihadapi sekarang saya mulakan artikel ini dengan menyatakan apa yang umum sudah tahu iaitu banyak parti politik berdepan masalah besar selepas setiap pilihan raya. Mereka sentiasa ditekan kerisauan dan kebimbangan bahawa ahli-ahli mereka yang baharu menikmati kemenangan di peti undi akan melompat ke parti lawan pula.
Ini sering terjadi lantas kita pernah menyaksikan ada kerajaan di Sabah jatuh setelah menang pilihan raya. Di Semenanjung kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tumbang apabila beberapa Adun lompat parti pada 2009. Yang paling besar atau mother of all defections ialah Langkah Sheraton 2020 yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat 18 bulan sebelum itu.
Menurut Kertas Kajian Awal Berkaitan Undang-undang Lompat Parti, sekiranya dibuat perbandingan dengan negara lain di rantau Asia Tenggara, Malaysia boleh dianggap sebagai negara berdepan masalah paling ramai ahli Parlimen melompat parti. Tentu anda setuju itu satu rekod yang tidak membanggakan malah memalukan.
Maka wujudlah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang dikenali sebagai ‘akta antilompat parti’. Kewujudan peruntukan itu syarat yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman antara perdana menteri waktu itu, Ismail Sabri Yaakob, dengan pembangkang yakni Pakatan Harapan.
Sejak persetujuan yang dicapai Ismail dengan PH, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan banyak sesi perbincangan dengan Ahli Parlimen mengenai rang undang-undang dan segala perkara perundangan berkaitan. Beliau ketika itu menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Parlimen dan undang-undang.
Dalam draf RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung akta antilompat parti, dihuraikan beberapa keadaan di mana seseorang Ahli Parlimen diklasifikasikan sebagai lompat parti sekali gus terpaksa mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pilihan raya diadakan.
Menurut Wan Junaidi, undang-undang yang digubal merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar, seperti dilapor Bernama 31 Mac 2022.
Saya percaya setiap Ahli Parlimen meneliti dan menghayati segala peruntukan dan istilah yang terkandung dalam RUU itu, serta mengesan kelompongan dan kelemahan jika ada. Saya kira mereka berpuas hati kerana apabila RUU berkenaan dibentang di Dewan Rakyat oleh Ismail Sabri, ia disokong majoriti Ahli Parlimen.
Izinkan saya memetik laporan Berita Harian:
“Pada 28 Julai (2022) Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih 2/3.
RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Ismail Sabri. Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili kerajaan dan blok pembangkang, namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat Bersatu.
Umum tahu Bersatu berada dalam kerajaan Ismail Sabri yang mengambil alih jawatan perdana menteri daripada presidennya, Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan.
Membaca wakil rakyat Bersatu tidak menyertai sesi perbahasan RUU yang dibentang Ismail Sabri membawa saya kepada laporan media beberapa hari lalu yang memetik Anwar Ibrahim mendakwa PH pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat terhadap peruntukan berkenaan pada 2022 tetapi ditolak oleh kerajaan ketika itu.
Dulu kita (PH) cadang mana-mana yang dibuang parti ditolak (mengosongkan kerusi) tapi tidak disetujui oleh kerajaan masa itu sebab masa itu orang Umno masuk parti dia, media memetik PMX berkata. Maksud beliau orang Umno masuk Bersatu yang duduk dalam kerajaan waktu itulah kan?
Apa pun sekarang yang didepan mata ialah isu enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap perdana menteri tetapi tidak keluar parti. Timbul pelbagai interpretasi status mereka. Ada pihak kata mereka mesti mengosongkan kerusi. Ada pihak kata tidak perlu. Dipertikaikan juga sama ada speaker Dewan Rakyat berhak menentukan kedudukan enam Ahli Parlimen tersebut. Masing-masing melihat peruntukan antilompat parti dan Perlembagaan mengikut interpretasi tersendiri.
Kata wartawan veteran, A Kadir Jasin, beribu-ribu undang-undang dibuat oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan sebanyak itu juga undang-undang dilanggar oleh Ahli Parlimen dan Ahli DUN sendiri. Ini adalah kerana masing-masing mempunyai interpretasi dan kepentingan sendiri.
Hence we are seeing what we are seeing today. Tidak perlu saya huraikan bagaimana masalah ini terjadi dan sebagainya kerana anda sedang dihidangkan polemiknya setiap hari.
Yang jelas kemelut ini akan terus membosankan dan memualkan kita si rakyat biasa. Its not about to end anytime soon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan