Chia Wan Rou
SELAYANG: Muhyiddin Yassin ‘membuka rahsia’ senarai calon bagi jawatan tertinggi Bersatu menjelang pemilihan parti pada Oktober ini, yang dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
Presiden Bersatu itu berkata Ahmad Faizal Azumu bersedia berundur setapak ke belakang, dengan menawarkan diri untuk jawatan naib presiden.
“Faisal sudi lepaskan jawatan dan tidak bertanding bagi memberi peluang kepada Hamzah Zainudin untuk mengambil tugas sebagai timbalan presiden sebagai pengiktirafan sumbangannya sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional serta ketua pembangkang di Parlimen,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Bersatu di Ideal Convention Centre Selayang.
Sementara itu, Azmin Ali akan ditawarkan jawatan setiausaha agung atas kemampuan dan pengalaman politiknya.
Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapan perasmian membayangkan tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti susulan kata sepakat selepas rundingan diadakan.
Menurutnya, terdapat usul beberapa bulan lalu yang memintanya ‘campur tangan’ bagi mengelakkan perpecahan.
Pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dijangka menjadi tumpuan pemilihan Bersatu kali ini selepas Muhyiddin mengekalkan kedudukan.
Faizal, penyandang sejak 2020, dikatakan bakal dicabar Hamzah yang dijangka dibenarkan bertanding mengikut Fasal 14.14 dan 14.16 perlembagaan parti, walaupun sebelum ini tidak layak bertanding lima jawatan utama kerana belum cukup dua penggal sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi.
Sementara itu, Muhyiddin menafikan dakwaan mengenai keperluan membayar jumlah tertentu bagi ahli yang ingin bertanding.
“Itu khabar angin sahaja,” katanya.
Memetik sumber, FMT sebelum ini melaporkan ahli Bersatu yang ingin menawarkan diri bertanding pemilihan parti Oktober ini perlu membayar antara RM1,000 hingga RM100,000 bergantung jawatan ditandingi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan