Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
SHAKILA (dua kiri) dan tertuduh remaja (dua kanan) dibawa keluar dari perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar. FOTO Aizat Sharif
Kangar: Seorang wanita dan seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan remaja perempuan bawah usia untuk eksploitasi seks, 2 Julai lalu.
Tertuduh, Shakila Latif, 25 dari Sik, Kedah dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari Langkawi hanya mengangguk faham dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan niat bersama memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bagi tujuan eksploitasi seks di hotel bajet di ini, 6.20 petang, 2 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan niat bersama memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang turut tidak mempunyai kad pengenalan bagi tujuan eksploitasi seks di hotel bajet sama pada tarikh sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Perlis, Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Musyiri menetapkan tertuduh masing-masing dikenakan jaminan berjumlah RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Selain itu, tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Selain itu, Musyiri turut menetapkan 22 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes serta memberi peluang kepada tertuduh untuk melantik peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan