Rakaman Takiyuddin angkatkan tangan calon masa ikrar sumpah jadi bualan

AKMAL MANAF

Semalam, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail melafazkan ikrar dan sumpah laknat selepas dirinya diberi tanggungjawab  mewakili gabungan berkenaan.

Mohd Rizwadi merupakan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan berentap dalam saingan di DUN berkenaan pada 17 Ogos depan.

Bagaimanapun, detik ikrar dan sumpah laknat dilafazkan Mohd Rizwadi yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang itu, mendapat kecaman netizen di TikTok.

Calon tersebut dikecam apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan datang ‘membantu’ mengangkatkan tangan beliau ketika proses tersebut sedang dilafazkan.

Menurut seorang netizen, dia menzahirkan rasa bimbang apabila calon tersebut ‘dibantu’ untuk mengangkatkan tangannya.

“Macam mana ni ..boleh harap ke.. tangan pun orang tolong angkatkan… risau… nak pikul tugasan macam mana ni?” soal netizen yang menggunakan nama Data_404.

“Tangan pun taki (Takiyuddin) tolong angkat,” kecam Rafiesyam Amieyul kepada calon berkenaan.

Malah, ada juga netizen yang sudah membuat penilaian awal membandingkan antara calon PN dan Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Jauh hebat dan karisma lagi calon BN. Ni nmpk tak yakin je,” kata ard_bro.

“Sejujurnya.. calon UMNO lebih berwibawa… Nenggiri kena pilih Mawi utk jaga Nenggiri.”

Sebelum ini, BN mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon.

DUN Nenggiri merupakan kerusi milik Bersatu selepas parti itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Pada PRN lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusof.

Terdahulu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan selepas pengguguran keahlian Mohd Azizi Abu Naim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan