Remaja perempuan 14 tahun lemas, bapa sempat selamatkan 4 beradik

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
Anggota bomba berjaya menemukan jasad remaja perempuan 14 tahun yang lemas ketika mandi bersama adiknya di anak sungai dekat Taman Pulai Perdana, petang tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba berjaya menemukan jasad remaja perempuan 14 tahun yang lemas ketika mandi bersama adiknya di anak sungai dekat Taman Pulai Perdana, petang tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Johor Bahru: Seorang remaja perempuan lemas, manakala empat adik-beradiknya yang lain selamat dalam kejadian di kawasan anak sungai dekat Taman Pulai Perdana, Skudai di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Saiful Bahri Safar berkata, kesemua mangsa difahamkan sedang melakukan aktiviti mandi dan memancing dengan keluarga.

Katanya pihak bomba menerima panggilan pada jam 3.38 petang berhubung kejadian dan menggerakkan 10 anggota bersama jentera.

"Mangsa yang maut adalah anak perempuan berumur 14 tahun.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian benar terdapat lima mangsa sedang mandi dan memancing di lokasi kejadian.

"Empat mangsa yang selamat iaitu kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dan lapan tahun, kanak-kanak lelaki 12 tahun dan remaja perempuan berumur 16 tahun.

"Bapa mereka berjaya menyelamatkan empat anaknya yang lain, namun gagal menyelamatkan mangsa.

"Difahamkan terdapat satu bahagian dalam seperti kawah di kawasan anak sungai terbabit, yang menyebabkan kesemua mangsa yang sedang mandi lemas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Saiful Bahri, remaja berusia 14 tahun dijumpai oleh anggota bomba pada jarak lebih kurang empat meter dari tebing.

"Mangsa diberikan rawatan CPR selama 40 minit sebelum pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba di lokasi. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh KKM," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan