Seorang bapa 45 tahun merogol anak kandung OKU berusia 13 tahun hingga melahirkan anak di Terengganu

Sakit perut bongkar remaja OKU dirogol bapa
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Dungun: Hancur hati seorang isteri selepas anak perempuannya yang berusia 13 tahun melahirkan seorang bayi dipercayai hasil perbuatan terkutuk suaminya dalam kejadian di daerah ini, semalam.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 45 tahun itu terbongkar selepas mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) mengadu sakit pada bahagian perut sebelum dibawa ibunya ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati anaknya hamil sebelum remaja itu melahirkan seorang bayi perempuan di klinik itu kira-kira 7 malam hari sama.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, mangsa dan bayi perempuannya itu kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

"Polis yang menerima laporan kemudiannya menjalankan siasatan dan mendapati pelajar terbabit masih belum berumah tangga.

"Hasil siasatan, kita menahan seorang lelaki yang juga bapa mangsa pagi hari ini," katanya.

Maizura berkata, siasatan awal polis percaya mangsa diperlakukan sedemikian oleh suspek sejak mangsa berusia 12 tahun.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Siasatan polis turut mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan