Tak tahan bau masakan, warga emas pukul dan ugut jiran

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Seorang warga emas ditahan kerana mencederakan dan mengugut jirannya gara-gara tidak tahan dengan bau masakan mangsa Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditangkap pada pukul 11.15 pagi berhampiran rumahnya di Taman Bertam Jaya di sini.

“Warga emas itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan. Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, warga emas itu ditahan selepas laporan polis dibuat oleh abang mangsa yang berusia 48 tahun.

Pengadu mendakwa suspek memasuki rumahnya pada pukul 7.30 pagi, Khamis lalu dan memukul mangsa menggunakan tangan dengan alasan tidak tahan dengan bunyi bising ketika wanita itu memasak selain bau masakan masuk ke dalam rumahnya.

Pengadu turut mendakwa dipukul ketika bergelut untuk mempertahankan adiknya menyebabkan dia mengalami luka di kaki selain adiknya sakit di belakang kepala.

Warga emas itu kemudian dihalang jiran-jirannya daripada bertindak lebih agresif dan didakwa turut mengugut mahu mengambil parang untuk mencederakan pengadu dan adiknya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan