2 menyamar polis samun warga asing dipenjara setahun, 3 sebatan

Bernama

KUALA LUMPUR: Dua individu hari ini dihukum penjara setahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Myanmar dua bulan lepas.

Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shahrel Omar, 31, dan Mat Yusri Mat Osman, 28, serta memerintahkan Muhammad Shahrel menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 25 Julai manakala Mat Yusri pada 26 Julai lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Myo Min Win, 32, dengan mengambil pasport, kad pengenalan, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1,500 milik mangsa di sebuah pusat beli-belah di Sentul di sini pada 9 malam 29 Jun lepas.

Muhammad Shahrel dan Mat Yusri didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, Myo telah ditahan oleh kedua-dua tertuduh yang memperkenalkan diri sebagai polis tanpa menunjukkan kad kuasa dan meminta pasport daripada mangsa sebelum mereka mengambil beg silangnya dan melarikan diri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Muhammad Shahrel, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan kehilangan seorang anak dalam kemalangan manakala Mat Yusri, yang juga tidak diwakili peguam, turut memohon hukuman ringan atas alasan perlu menanggung keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan