Bomba guna jengkaut perluas pencarian mangsa

Bernama

Bomba berkata carian manual gagal menjumpai seorang wanita yang terjatuh.
Bomba meluaskan kawasan pencarian wanita yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat akan mengorek kawasan mendapan yang berlaku akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India menggunakan mesin jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata langkah itu bagi meluaskan kawasan pencarian wanita warga India yang terjatuh.

Berikutan perluasan kawasan pencarian, pihaknya juga akan menambah anggota JBPM.

Kita dah buat carian manual tetapi gagal menjumpai mangsa, dijangka dalam waktu terdekat akan sambung buat korekan lebih luas di tempat mendapan, katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman berkata beliau difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang dan kemudiannya duduk di kerusi konkrit yang turut terjatuh bersamanya.

“Buat masa ini, kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup serta mengambil rakaman keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian.

Tiada maklumat lanjut yang boleh diberikan buat masa ini termasuk kronologi sebenar insiden… sejurus mangsa ditemukan, kita akan kemas kini maklumat, katanya.

Sementara itu, berhubung keadaan keselamatan kawasan sekitar, Sulizmie berkata pihaknya masih berbincang dengan agensi berkaitan sebelum mengambil langkah sama ada menutup sepenuhnya lokasi kejadian atau sebaliknya.

“Setakat ini usaha menyelamatkan mangsa yang masih ada di bawah sedang dijalankan dan kini kita tunggu jengkaut untuk menggerakkan kerja pencarian.

Kita perlu pertimbangkan nyawa bomba yang melakukan kerja penyelamatan dan buat masa ini, kita belum buat keputusan untuk tutup sepenuhnya sebab kita rasakan masih selamat dan kita akan membuat beberapa analisis dan jika perlu ditutup maka kita akan maklumkan kelak, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan