Budak 12 tahun dirogol 13 lelaki termasuk kawan abang

Agensi
POLIS mengiringi mangsa rogol berkumpulan yang dipercayai dilakukan rakan abangnya. FOTO Agensi
POLIS mengiringi mangsa rogol berkumpulan yang dipercayai dilakukan rakan abangnya. FOTO Agensi
Bangkok: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terpaksa melarikan diri dari Narathiwat untuk mendapatkan bantuan di Nonthaburi selepas dirogol beramai-ramai oleh 13 lelaki, termasuk rakan abang dan saudara maranya.

Mangsa ditemani kakak yang berusia 20 tahun nekad mendapatkan bantuan daripada pempengaruh media sosial Guntouch 'Gun' Pongpaiboonwet selepas kanak-kanak itu dirogol di sebuah resort di Tak Bai di Narathiwat pada Mei.

Thaiger melaporkan, kakaknya berkata, dia menyedari serangan seksual itu apabila menyedari adiknya dilihat tertekan, tidak banyak bercakap dan berkurung di dalam bilik.

Menurutnya, dia memutuskan untuk memeriksa telefon bimbit adiknya dan menemui perbualan antara dia dan perogol.

Menurut kakak mangsa, perogol mengugut gadis itu supaya merahsiakan kejadian itu.

Kumpulan perogol berkenaan didakwa adalah sebahagian daripada kumpulan pengedaran dadah utama di wilayah itu dan mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan itu.

Bimbang kumpulan itu menggunakan kuasa untuk menghalang kes berkenaan, kanak-kanak itu dan kakaknya berpindah ke Nonthaburi untuk mendapatkan bantuan daripada Gun.

Mangsa mendedahkan terdapat 13 orang, paling muda berusia 16 tahun, terbabit dalam kes rogol berkumpulan itu.

Ada di antaranya adalah kawan adiknya, saudara mara dan seorang lelaki buta yang mempunyai isteri dan anak.

Gun memberitahu Saluran 3 bahawa seorang rakan abang mangsa mengajaknya makan roti bersama, tetapi dia tidak dibawa ke kedai sebaliknya ke pusat peranginan sebelum merogolnya.

Lelaki itu kemudian memanggil lebih ramai individu ke resort berkenaan dan mengancam dengan ugutan jika mendedahkan kejadian itu.

Gun mendedahkan beberapa perogol menghubungi kakak mangsa dan memintanya kembali ke Tak Bai untuk menyelesaikan perkara itu tetapi wanita itu menolak.

Mereka juga memberanikan diri membuat laporan polis bagi memudahkan kes itu disiasat.

Gun berkata perogol dipercayai tidak takut dengan undang-undang dan tindakan mereka sangat tidak berperikemanusiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan