Kelantan: 9 kedai makan kotor lagi jijik, 160 notis langgar peraturan kebersihan dikeluarkan

Harapandaily

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) semalam telah mengarahkan sembilan premis makanan yang didapati kotor ditutup selama 14 hari.

Menurut Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin arahan penutupan itu dijalankan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 susulan Operasi Bersepadu Premis Bersih terhadap 53 premis makanan di sekitar bandar ini.

“Kegagalan pemilik premis makanan untuk mematuhi perintah penutupan itu adalah satu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan penjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Antara dapur di sebuah kedai makan yang kotor dan diarahkan ditutup selama 14 hari. – Foto Sinar Harian
Dr Zaini berkata, dalam operasi sama sebanyak 160 Notis Seksyen 32B, Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Jelasnya, daripada 160 notis 32B yang dikeluarkan, kesalahan paling banyak dikesan adalah berkaitan pakaian pengendali makanan iaitu 129 notis.

“Kesalahan lain dikesan adalah berkaitan kebersihan diri pengendali makanan, tidak mendaftarkan premis makanan dan tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan penyimpanan makanan, juga tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan bersih,” katanya, memetik Bernama.

Beliau berkata kesemua notis Seksyen 32B boleh dibayar kompaun dalam tempoh masa satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan