Nelayan parah dilibas ekor ikan paus

AGENSI

CANBERRA: Seorang nelayan parah akibat libasan ekor ikan paus ketika mamalia laut itu merempuh bot yang dinaiki mangsa di Gold Coast Queensland, Australia berhampiran sempadan New South Wales.

Mirror UK melaporkan, sejurus selepas kejadian lelaki berusia 40 tahun itu tidak sedarkan diri dan rakan mangsa yang turut berada di atas bot serta beberapa penunggang jet ski berhampiran lokasi segera mendapatkan bantuan perkhidmatan kecemasan.

Anggota pasukan penyelamat yang tiba kemudian membawa nelayan itu ke pantai seterusnya dikejarkan ke Hospital Universiti Gold Coast.

Mangsa yang cedera di muka dan tulang belakang segera diberikan rawatan oleh doktor.

Perkhidmatan Kecemasan Queensland berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil tetapi ingatannya masih kabur.

Jurucakap Polis Queensland berkata, pihaknya menggesa individu yang menaiki bot untuk sentiasa memakai jaket keselamatan.

"Nasib baik lelaki ini kekal berada di dalam botnya dan tidak terjatuh ke laut. Orang ramai digesa supaya berjaga-jaga terutama mereka yang pergi memancing atau menaiki bot semasa musim ikan paus berhijrah waktu ini," katanya.

Ketika musim penghijrahan, paus Humpback dan paus Southern kerap melalui Sydney semasa berhijrah di sepanjang Pantai Timur Australia, menuju ke utara untuk bulan Jun dan Julai yang lebih sejuk. Paus berkenaan kembali ke selatan antara September dan November.
-bharianonline 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan