PDRM siasat dakwaan bekas timbalan menteri, Datuk Mashitah terlibat pemerdagangan manusia

TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA NERUS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang didakwa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PDRM diberi sepenyh kepercayaan untuk menyiasat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terhadap kes berkenaan.

“Aduan (laporan) sudah dibuat dan PDRM juga membuka kertas siasatan. Jadi biar proses (siasatan) itu berjalan dahulu.

“Tidak perlu timbulkan spekulasi, saya serahkan kepada profesionalisme PDRM untuk menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Baru Pulau Redang dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution mengakui jenayah rentas sempadan antara negara-negara Asia Tenggara amat membimbangkan.

“Semua negara (ASEAN) mengakui ‘trend’ jenayah rentas sempadan meningkat termasuk kes pemerdagangan manusia. Kita juga bersetuju berkongsi maklumat perisikan bagi membanteras jenayah rentas sempadan daripada terus berleluasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan