Pembantu peribadi pelakon wanita popular ditahan polis

Wartawan Harian Metro
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita popular ditahan polis selepas didakwa mencuri barangan kemas pelakon itu, semalam.

Sumber Harian Metro berkata, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor.

"Difahamkan kecurian berlaku pada Jun lalu selepas pelakon wanita itu menyedari rantai emas miliknya hilang.

"Bukan itu saja, rantai emas milik anak pelakon itu juga turut hilang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut sumber lagi, pelakon wanita itu turut kehilangan wang RM10,000.

"Pemeriksaan di rumah wanita terbabit di Gombak turut menemui semula barangan kemas itu," katanya.

Harian Metro difahamkan, pembantu peribadi itu juga ada membuat laporan di IPD Daerah Gombak mendakwa dipukul pelakon wanita terbabit.

Sumber berkata, punca pembantu peribadi itu dipukul kerana didakwa mereka cerita yang rumah tangga pelakon itu sedang bermasalah.

"Pelakon itu juga ada membuat laporan polis semalam," katanya.

Harian Metro sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung penahanan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan