Penduduk bingung jutaan ikan lompat naik ke pantai

KOSMO!
JUTAAN ikan muncul di pesisiran pantai Jawa dianggap penduduk tempatan akan berlaku bencana alam. - Foto Istimewa
JAKARTA – Fenomena jutaan ikan melompat naik ke pesisir pantai di wilayah Jawa Barat pada waktu malam, kini menjadi misteri dan membingungkan penduduk tempatan, lapor portal berita Tribun Jateng semalam. 

Ia berlaku di sepanjang pesisir Pantai Priangan Timur dan Pantai Cipatujah, daerah Tasikmalaya.

Fenomena itu mencetuskan kebimbangan bahawa kemungkinan sama ada gempa bumi atau tsunami akan berlaku.

Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan sejumlah orang menangkap dan menyaksikan ikan-ikan melompat.

Ada juga yang menangkap ikan menggunakan pukat dan alat tangkapan lain.

“Ya, bukan hanya di pesisir Cipatujah sahaja ada fenomena jutaan ikan kecil terbang.

“Ia berlaku di sepanjang pesisir Pangandaran, Tasikmalaya, Santolo Garut. Pinggir pantai ada banyak ikan melompat ke permukaan,” jelas Ketua Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (HNSI) Tasikmalaya, Dedi Mulyadi. 

Fenomena ganjil itu menyebabkan penduduk tempatan berasa yakin bahawa akan berlakunya bencana alam. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan