Pengusaha kedai perabot maut dilanggar kenderaan mengundur sendiri

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
KENDERAAN pacuan empat roda Toyota Hilux yang mengundur ke belakang sebelum terlanggar mangsa. FOTO Ihsan Polis
KENDERAAN pacuan empat roda Toyota Hilux yang mengundur ke belakang sebelum terlanggar mangsa. FOTO Ihsan Polis
Sik: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai dilanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux miliknya yang mengundur sendiri di Kampung Pasir Putih, Jalan Padang Pulut, Jeneri, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, polis menerima makluman berkaitan seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri di bawah kenderaan pacuan empat roda di tempat kejadian jam 4.30 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika mangsa, Lim Gok Hong, 59, dari kebun betik miliknya dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Yan.

Katanya, mangsa yang juga pemilik kedai perabot di daerah Yan menetap di Batu 25, Jalan Yan.

"Namun sebaik tiba di jalan masuk ke kebun, mangsa meletakkan gear dalam keadaan neutral (N) dan menarik brek tangan sedikit sahaja sebelum turun dari kenderaannya untuk menutup pintu pagar kebunnya itu.

"Sewaktu mangsa menutup pintu pagar, secara tiba-tiba kenderaan itu mengundur ke belakang lalu terlanggarnya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa terhimpit di bawah kenderaan terbabit di bahagian belakang berdekatan dengan tayar belakang sebelah kanan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak berkata, mayat mangsa ditemui berada dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Forensik Hospital Sik untuk urusan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4.47 petang.

Beliau yang mengetuai operasi menyelamat bersama Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan a/l Prak Prem tiba di lokasi bersama lapan anggota tidak lama kemudian.

"Mangsa yang dipercayai tersepit di bahagian belakang kenderaan itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

"Pihak bomba menggunakan peralatan khas 'air lifting bag' bagi mengangkat kenderaan itu untuk ruang kerja bagi mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan