Polis selamat wanita Tanzania disyaki mangsa eksploitasi seks, tahan 20 warga asing

Bernama
Seramai 20 warga asing ditahan di sebuah unit pangsapuri di Jalan Ampang hari ini, disyaki melakukan kesalahan bawah Atipsom. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Polis menahan 20 warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam operasi di Jalan Ampang hari ini atas pelbagai kesalahan, termasuk bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Zain berkata, mereka yang ditahan dalam operasi bermula 10.30 pagi di sebuah pangsapuri itu berusia dua hingga 40 tahun, terdiri daripada 14 warga Nigeria, 3 dari Tanzania, dua dari Uganda dan seorang warga Maldives.

Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 12 Atipsom serta Seksyen 55D, Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut menyelamatkan seorang wanita warga Tanzania berusia 24 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang relevan, katanya.

Sementara itu, seorang pekerja di pangsapuri berkenaan yang enggan dikenali berkata, banyak aduan membabitkan warga Afrika di situ membabitkan tingkah laku seperti membuat bising dan mabuk hingga merosakkan harta benda.

Pihak pengurusan ada terima aduan mereka membuat bising kerana mabuk selain bergaduh sampai keluar rumah dalam keadaan berbogel, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan