Sampai bila mahu tengok warga asing jadi tauke?

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

SESUAI dengan nama Pahang Darul Makmur negeri makmur mempunyai tanah subur untuk aktiviti tanaman sayur, durian, sawit dan pertanian lain.

Pahang juga terkenal dalam sektor pelancongan dan perindustrian. Kemakmuran Pahang menyebabkan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia menjadi lubuk rezeki termasuk orang asing.

Di ladang sawit, kebun durian dan sayur malah premis perniagaan ada warga asing.Ada yang menjadi pekerja, ada yang jadi tauke di 11 daerah di negeri tersebut.

Rompin misalnya pendatang asing mula menguasai perniagaan dan selain bekerja. Di Raub dan Bentong, warga asing mencari makan di ladang musang king, malah kawasan pengeluaran sayur didominasi pekerja asing.

Mereka bersenang lenang menjadi tauke memajak tanah pertanian. Pekerja asing telah mewujudkan kartel yang menguasai pertanian di Pahang.

Perkara ini tidak dapat disorokkan lagi dan mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa bimbang apabila tanah di Pahang mula ‘dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan.

Baginda memberi contoh tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani kini disewakan kepada warga asing.

“Demi mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup gadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.

“Lebih mendukacitakan, warga asing mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah, pihak berkuasa perlu menangani pencerobohan tanah kerajaan secara haram dengan tegas dan bersepadu bagi mengelakkan kerugian besar. Al-Sultan Abdullah bertitah selama berpuluh tahun kerugian, sudah sampai masanya kerajaan negeri ‘celik’ dan fokus pada masalah ini bagi mengelakkan masalah besar.

Pencerobohan tanah kerajaan di Pahang sebenarnya seolah-olah menjadi perkara ‘halal’ untuk dilakukan. Banyak tanah kerajaan, malah hutan simpan diceroboh untuk tanaman sawit, durian dan sebagainya menyebabkan hasil negeri bocor.

Di Raub, kira-kira 2,000 hektar kawasan tanah kerajaan dikenal pasti ditanam musang king sejak sekian lama dan mengeluarkan hasil berbilion ringgit sekali gus merugikan kerajaan negeri.

Itu belum dikira lagi dengan kawasan lain yang belum dikenal pasti termasuk di daerah-daerah lain.

Malah selepas keputusan mahkamah yang memihak kepada kerajaan negeri sekali pun, masih tiada tindakan tuntas dilihat dilakukan oleh pihak berkuasa menyaksikan kawasan berkenaan seolah-olah dibiarkan begitu sahaja sehinggakan ada yang berani melakukan pencerobohan.

Hakikatnya, ‘penjajahan’ dan ‘pencerobohan’ tersebut telah berlaku sejak sekian lama dan terus berlaku. Puncanya sudah tentu daripada penguatkuasaan yang lemah seolah-olah penguat kuasa sudah tiada kuasa.

Semoga titah tuanku mampu mengejutkan mereka yang diberikan kuasa agar segera bangkit dan pihak berkaitan juga perlu melakukan siasatan terhadap masalah yang berlaku dan mencari punca kenapa dan mengapa perkara itu terus berlaku. -KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan