Wanita dakwa dicabul pemandu kedua bas ekspres

Rosli Ilham
bhnews@bh.com.my

CHUKAI: Seorang wanita mendakwa dia dicabul seorang pemandu bas ekspres ketika dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata ketika kejadian mangsa yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai seorang jurujual di Marang Terengganu berada di tingkat atas bas terbabit.

Mangsa menaiki bas dari Kuala Terengganu jam 10.15 malam dan dalam perjalanan itu, mangsa yang tidur dikejutkan dengan perbuatan suspek kira-kira jam 11.30 malam.

"Mangsa berasa seperti ada orang menarik lengan kirinya dan mendapati ia adalah pemandu kedua bas terbabit yang dikenalinya.

"Ketika kejadian, mangsa mendakwa bas terbabit berada di Plaza Tol Chukai Kemaman," katanya.

Hanyan berkata, ketika itu mangsa berasa seperti suspek menjilat leher, memegang buah dada serta menyeluk dan memegang kemaluannya.

"Sebaik membuka mata, mangsa segera menjerit dan menepis tangan suspek sebelum suspek berhenti melakukan perbuatan itu.

"Ketika itu mangsa mendapati suspek masih belum beredar serta duduk di sebelahnya sebelum suspek beredar ketika bas terbabit berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Chenor Pahang," katanya.

Ketika kejadian hanya tiga penumpang berada di tingkat atas bas terbabit dan pengadu mengenali suspek sebelum ini kerana sering menaiki bas sama.

"Pengadu tiba di Terminal Bersepadu Selatan TBS Kuala Lumpur jam 4 pagi sebelum ke Balai Polis Salak Selatan Baru untuk membuat laporan.

"Gerakan mengesan dan menahan pemandu bas terbabit sedang dilakukan dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan