Ahli arkeologi temui rangka manusia berusia 16,000 tahun di Lembah Nenggiri

Malaysiakini
story-image

Ahli arkeologi menemui berbelas-belas rangka manusia prasejarah yang dianggarkan berusia 16,000 tahun, di Lembah Nenggiri Kelantan.

Akhbar berbahasa Inggeris The Star melaporkan rangka berkenaan ditemui dalam gua yang bakal ditenggelami bagi projek takungan hidroelektrik menjelang pertengahan 2027, menurut laporan Live Science pada Selasa (10 Sept).

Projek Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion, sebaik siap, dijangka membanjiri gua-gua berkenaan dan mewujudkan Tasik Takungan Utama seluas 53.84 km persegi dan Kolam Pengatur Aliran seluas 0.97 km persegi.

Pasukan arkeologi yang diketuai ahli arkeologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zuliskandar Ramli itu mengenal pasti 16 rangka berkenaan adalah milik masyarakat pra-Neolitik di rantau ini.

Ahli akademik juga percaya rangka ini ada kaitan dengan kebudayaan Hoabinhian, sekumpulan masyarakat pemburu dan pengumpul yang terkenal dengan alat batu tersendiri yang ditemui di seluruh Asia Tenggara - dari barat daya China ke Indonesia.

Pasukan Zuliskandar menemui 16 rangka berkenaan tertimbus di 13 gua batu kapur di empat lokasi.

“Lima belas daripada rangka itu ditanam dalam keadaan bongkok atau meringkuk sepenuhnya, dan ini ialah ciri pengebumian pra-Neolitik di rantau ini,” katanya dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, satu rangka dikebumikan dalam posisi terlentang, menunjukkan ia berasal dari zaman Neolitik sekitar 6,000 tahun yang lalu.

"Ini adalah rangka yang paling lengkap dan tertua dalam posisi meringkuk sepenuhnya yang terdapat di Malaysia," tambah Zuliskandar.

Ribuan artifak

Selain itu kumpulan itu menemui lebih 71,000 artifak prasejarah, termasuk alat batu, tembikar dan perhiasan batu.

Kubur pra-Neolitik mengandungi alat batu, oker merah, dan kristal, manakala kubur Neolitik mengandungi barang-barang seperti gelang batu, alat yang digilap dan kepingan tembikar.

Rangka berkenaan kini ditempatkan di Jabatan Warisan untuk pemuliharaan dan penyelidikan lanjut, manakala artifak lain disimpan di fasiliti khas yang diuruskan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan