Anak dihina berpakaian seperti pelacur, Che Ta buat laporan polis

NUR AL-FAIRUZA SYARFA NOR SAIDI
Che Ta berang dengan tindakan seorang netizen yang melabel anaknya berpakaian seperti seorang pelacur.
PETALING JAYA – Geram dengan perbuatan individu yang melemparkan kata-kata kesat terhadap anaknya termasuk menyamakan kanak-kanak itu berpakaian seperti seorang pelacur, pelakon Rozita Che Wan bertindak membuat laporan polis.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta juga nekad mencari pelaku yang didakwa menghina Aaisyah Dhia Rana tanpa memikirkan kesan  perbuatan biadab tersebut.

“Malas cakap banyak. Aku serahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

“Siapa yang kurang ajar mengata anak aku, kau tunggu. Baik kau benam diri dalam tanah.

“Kalau tidak pun tunggu, aku akan cari sampai lubang cacing. Kau main tahi dengan aku, kau akan kena,” katanya dalam InstaStory.
Che Ta membuat laporan polis ekoran terhadap seorang individu yang menghina anaknya berpakaian seperti seorang pelacur di Balai Polis Kota Damansara.
Meskipun akaun individu tersebut sudah hilang, Che Ta, 50, tetap akan berusaha menjejaki pelaku terbabit sehingga dapat ditemui.

“Tiada masalah (akaun Instagram hilang). Aku akan cari sampai lubang cacing.

“Silap besarlah cari fasal dengan aku,” jelasnya.

Berdasarkan pemerhatian Kosmo! Online, hari ini pelakon drama Kiah Pekasam itu dilihat pergi ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang difahamkan untuk melaporkan isu sama.

Terdahulu, Che Ta ‘naik hantu’ selepas seorang netizen dikatakan menghina Aaisyah dengan menyamakan baju dipakai seperti pelacur dan tidak layak menerima wang hantaran tinggi.

Komen tersebut muncul selepas sebuah akaun TikTok memuat naik video Aaisyah menggunakan tajuk yang mengundang salah faham netizen.

Che Ta dalam sebuah video pernah meminta agar anak tunggal perempuannya itu mempelajari selok-belok kerja rumah dan berseloroh mendapat wang hantaran tinggi berjumlah RM900,000 melebih jumlah yang pernah diterimanya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan