Anak pemimpin GISBH antara 5 ditahan ketika cuba ke Thailand

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anak pemimpin GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) antara lima individu yang ditahan dalam Op Global di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Risikan Sempadan Zon Utara berjaya mengesan dua kenderaan mempunyai lambang GISBH di lokasi terbabit kira-kira jam 6 petang tadi.

"Hasil pemerhatian terhadap kenderaan itu mendapati ia bergerak ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand.

"Tindakan pemeriksaan dibuat dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan berjaya menahan kenderaan itu serta lima lelaki.

"Kelima-lima lelaki yang ditahan termasuk anak pemimpin GISBH itu berusia antara 28 hingga 41 tahun," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas beberapa kenderaan dalam tangkapan itu.

"Soal siasat awal dan proses dokumentasi terhadap kesemua suspek berkenaan sedang dijalankan.

"Tangkapan dan rampasan terbabit akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya.

Harian Metro dan Metro Ahad menerusi laporan eksklusif sejak 7 September lalu melaporkan bakar tangan, cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual antara bentuk penderaan yang dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal.

Malah, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa liwat dan lebih malang selepas diliwat mereka pula akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.

Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa Rabu lalu di Seremban, Negeri Sembilan.

Susulan pendedahan akhbar ini, ia turut mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, kementeriannya akan berkerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelamatkan kanak-kanak terancam dan perlukan perlindungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan