Apabila Tuhan berkehendak: Lelaki diculik pada 1951, disatukan semula dengan keluarga

Agensi
ALBINO (kiri) bertemu semula dengan abangnya, Roger. FOTO Bay Area News Group/Alida Alequin
ALBINO (kiri) bertemu semula dengan abangnya, Roger. FOTO Bay Area News Group/Alida Alequin
New York: Lelaki yang diculik ketika berusia enam tahun di California, Amerika Syarikat (AS) pada 1951 ditemukan semula selepas dilaporkan hilang lebih tujuh dekad.

Luis Armando Albino, 79, dari Oakland itu ditemukan anak saudaranya Alida Alequin, 63, hasil bantuan ujian keturunan secara dalam talian, gambar lama dan keratan akhbar, menurut The Guardian memetik laporan Bay Area News Group pada Jumaat.

Alequin dengan bantuan polis, FBI dan jabatan kehakiman kemudian menemui bapa saudaranya itu di pantai timur AS sebelum disatukan semula dengan keluarganya di California, Jun lalu.

Mengimbas sejarah kehilangan lelaki itu, pada 21 Februari 1951, seorang wanita memperdaya Albino yang berusia enam tahun ketika dia bermain dengan abangnya, Roger, kini berusia 82 tahun.

Wanita itu berjanji mahu membelikannya gula-gula, sebaliknya menculik budak lelaki kelahiran Puerto Rico itu kemudian membesarkannya seolah-olah anak mereka sendiri, lapor kumpulan berita itu.

Pegawai dan ahli keluarga tidak menyatakan lokasi sebenar Albino menetap dan dibesarkan.

Selama lebih 70 tahun, Albino kekal hilang tetapi dia sentiasa di hati keluarganya dan gambarnya digantung di rumah saudara-mara, kata Alequin.

Ibunya meninggal dunia pada 2005 tetapi tidak pernah putus harapan bahawa anaknya masih hidup.

Polis Oakland mengakui bahawa usaha Alequin memainkan peranan penting dalam mencari bapa saudaranya.

Tanggapan pertama bapa saudaranya mungkin masih hidup muncul pada 2020 apabila Alequin mengambil ujian DNA dalam talian.

Ujian itu menunjukkan persamaan 22 peratus dengan DNA seorang lelaki yang akhirnya mengesahkan ia bapa saudaranya.

Awal tahun ini, Alequin membuat pencarian akhbar dan gambar lama di perpustakaan awam Oakland sebelum melaporkan hasilnya ke balai polis Oakland pada hari yang sama.

Penyiasat akhirnya bersetuju bahawa ada petunjuk baharu dan kes orang hilang baharu dibuka.

Pada 20 Jun, penyiasat pergi ke rumah ibunya, kata Alequin, dan memberitahu mereka bapa saudaranya sudah ditemui.

Pada 24 Jun, dengan bantuan FBI, Albino datang ke Oakland bersama ahli keluarganya dan bertemu dengan Alequin, ibu anak saudaranya itu dan saudara-mara yang lain.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan