Atlet tinggi 2.46m akhirnya dapat katil sesuai

AFP
MORTEZA (tengah) bersama rakan sepasukan menyanyikan lagu kebangsaan Iran sebelum menentang Ukraine di Paralimpik Paris. FOTO AFP
MORTEZA (tengah) bersama rakan sepasukan menyanyikan lagu kebangsaan Iran sebelum menentang Ukraine di Paralimpik Paris. FOTO AFP
Paris: Bintang bola tampar duduk Iran Morteza Mehrzad akhirnya mendapat katil sesuai untuk dirinya yang mempunyai ketinggian 2.46 meter (m) di Paralimpik Paris 2024.

Jurulatihnya Hadi Rezaeigarkani memberitahu laman sesawang Olympics.com Jumaat lalu, atlet berusia 36 tahun itu merancang tidur di atas lantai di perkampungan Olimpik kerana tidak seperti di temasya Tokyo -- katilnya tidak cukup besar.

"Di Tokyo, mereka membuat katil istimewa untuknya tetapi tidak di sini," kata Hadi. "Dia akan baring di atas lantai."

Morteza lelaki kedua tertinggi masih hidup di dunia menghidap 'acrogemaly' pada usia muda, penyakit jarang berlaku yang menghasilkan pertumbuhan hormon berlebihan.

Semua atlet tidur di atas katil sama yang mesra alam sama seperti di Olimpik Tokyo. Tilamnya diperbuat daripada plastik terpakai dan bawahnya daripada kadbod.

Jawatankuasa penganjur Paris dalam kenyataan kepada AFP berkata sebagai langkah segera mereka memberikan katil khas kepada Morteza susulan permintaan Jawatankuasa Paralimpik Iran.

"Paris 2024 berhubung dengan pihak Iran dan atlet itu kini mempunyai semua peralatan untuk keselesaannya."

Morteza menyertai skuad bola tampar duduk Iran selepas jurulatih menyedari bakatnya dalam rancangan realiti TV berkisar mengenai mereka yang bergelut dalam kehidupan seharian.

Ketika zaman remajanya, dia terbabit nahas ketika berbasikal mengakibatkan kecederaan pelvis dan menjejaskan perkembangan normal pada kaki kanannya.

Dia memenangi pingat emas pada Paralimpik 2016 dan 2020 serta meraih Bola Emas sebagai pemain terbaik dunia 2019, 2021 dan 2022.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan