AWAS!!! Barah sosial: Pesta 'swinger' banteras sebelum jadi barah!

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pesta seks beramai-ramai, bertukar pasangan atau 'swinger' perlu dipantau dan dibanteras sebelum ia jadi barah dalam masyarakat.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon berkata, ia penting bagi mengelakkan negara dipimpin oleh generasi masa depan yang tidak berakhlak.

"Adakah mereka ini (yang terbabit aktiviti swinger) terdiri daripada masyarakat moden yang menolak hukum agama atau nilai sosial masyarakat, siapa mereka ini dari segi latar belakang dan profil demografi.

"Perkara ini perlu diteliti secara konstruktif dan inklusif di mana masyarakat moden bukan sahaja terbeban dengan kos sara hidup malah turut terbeban dengan keperluan sosial sebagai manusia.

"Ciri-ciri mereka yang terbabit dalam aktiviti swinger perlu diteliti secara kajian forensik kerana pastinya wujud teori permintaan dan penawaran di sini," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, penjawat awam dan pelajar universiti awam (UA) antara 36 ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti swinger yang dipromosikan di dalam talian.

Antara yang ditahan adalah pemilik sebuah laman sesawang yang dikesan mempromosi kegiatan itu secara dalam talian dan mampu meraih 147,000 langganan.

Mengulas lanjut Novel berkata, timbul persoalan mengapa individu terbabit berani mempromosikan kegiatan tidak bermoral ini menggunakan aplikasi media dalam talian walaupun jelas menyalahi undang-undang.

"Adakah mereka melihat wujudnya kelompongan dalam undang-undang, atau aktiviti swinger ini sudah diterima oleh sesetengah ahli masyarakat yang berada dalam kategori tertentu.

"Jika dilihat secara holistik isu ini bukan perkara baharu dalam dunia moden yang rata-rata masyarakatnya menggunakan telefon pintar dengan pelbagai aplikasi.

"Aplikasi berkenaan pula mempunyai fungsi dan matlamat yang kadang kala disalahgunakan oleh penggunanya sehingga mendatangkan penyakit sosial," katanya.

Menurutnya, aktiviti swinger atau seumpamanya perlu dipantau dengan serius oleh pihak berkuasa sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat.

Katanya, jika tidak dibendung ia bukan sahaja mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan dan institusi keagamaan malah dikhuatiri berkemampuan menghancurkan tamadun manusia.

"Kegiatan swinger ini juga melanggar hukum tuhan yang pastinya akan mendatangkan bala kepada masyarakat malah mencemarkan imej negara sebagai sebuah negara Islam.

"Ia juga melanggar adat resam dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia yang dikhuatiri menggalakkan seks bebas terutama dalam kalangan golongan muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan