Bapa ‘kantoi’ kerana hubungan songsang anak

KOSMO!

Rahsia bapa Adli berbini dua terbongkar akibat hubungan songsang dua anak lelakinya. 

PADA pandangan keluarganya, pemuda itu seorang anak lelaki yang sempurna, menjaga agama, maruah serta peribadi, selain memiliki kerjaya yang bagus.

Namun, di sebalik semua itu, dia menyimpan satu rahsia yang jika diketahui mencalarkan semua pandangan baik terhadapnya.

Adli (bukan nama sebenar) sebenarnya sudah jauh menyimpang dari landasan terutama soal hati dan perasaannya selain mempunyai pasangan hubungan sejenis.

Perkara itu dirahsiakan dengan rapi daripada pengetahuan keluarga, malah rakan-rakan kerana itu dianggap sesuatu yang amat menyimpang daripada imej yang dipamerkan.

Menurutnya, perasaan itu sudah wujud sejak zaman remaja iaitu semasa belajar di asrama dan segalanya bermula selepas dia mempunyai seorang abang angkat.

“Masa zaman asrama, saya ada ramai abang angkat, tetapi ada seorang yang sangat prihatin, kami rapat hingga tidur dan mandi bersama setiap hari.

“Dari situ bermulanya perasaan sukakan lelaki, walaupun saya tidak lembut tetapi hati dan perasaan ini sukar untuk menyukai wanita,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, apabila menginjak dewasa, ke universiti hingga bekerja, dia juga pernah menjalani beberapa perhubungan dengan beberapa lelaki, namun ada satu perkenalan yang telah membuka rahsia lebih besar apabila ia melibatkan bapanya sendiri.

Kongsi Adli, ia berlaku semasa dia berkenalan dengan seorang lelaki yang lebih muda iaitu Reza (bukan nama sebenar) semasa sudah bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Reza ketika itu merupakan pelajar pelatih yang menjalani latihan industri di tempat Adli bekerja dan dia juga penyelia pemuda itu.

Dari perkenalan tersebut, berputik rasa suka kerana Reza mempunyai rupa paras yang kacak, tambahan pula mereka saling menyukai antara satu sama lain.

Selepas mereka berpacaran, Adli mengajak Reza tinggal bersama kerana selepas tamat latihan industri, Reza mahu mencari kerja sambilan.

Walaupun sudah berpacaran, Adli tidak pernah bertanyakan tentang keluarga Reza walaupun keluarga Reza sebenarnya hanya menetap di Seremban, Negeri Sembilan, manakala keluarganya di Melaka.

Adli dan Reza berpasangan sebelum mengetahui bahawa mereka sebenarnya dua beradik tiri. – 
“Saya ada juga bercerita tentang keluarga saya termasuk bercerita tentang ayah yang saya sifatkan sebagai seorang yang penyayang meskipun tegas.

“Reza turut berkongsi tentang keluarga tetapi sebaliknya kurang bercerita tentang bapanya kerana katanya bapa jarang pulang ke rumah,” ujarnya.

Namun begitu, hal tersebut tidaklah dianggap penting kerana apa yang mereka fokuskan adalah kehidupan mereka yang tinggal bersama.

Hingga pada suatu hari, Reza mengajak Adli pulang ke kampungnya untuk pertama kali kerana keluarganya ada mengadakan kenduri tahlil arwah.

Ujar Adli lagi, ketika berada di rumah keluarga Reza, dia diperkenalkan sebagai teman serumah kepada ibu Reza sahaja kerana ketika itu bapanya belum lagi pulang.

Selepas beberapa jam, terdengar bunyi kereta di luar rumah dan Adli memberitahu bahawa bapanya sudah sampai.

“Ketika itu, saya di dapur membantu rewang masak untuk kenduri, namun begitu mendengar suara bapa Reza memberi salam, saya tersentak kerana suara itu seperti tidak asing.

“Apabila saya ke hadapan, alangkah terkejutnya kerana lelaki yang juga merupakan bapa Reza itu adalah bapa kandung saya sendiri. Selama ini, walaupun menyedari miliki nama bapa serupa tetapi saya tidak menduga apapun kerana nama bapa kami nama lazim yang digunakan ramai orang,” ujarnya.

Suasana ketika itu menjadi sedikit kekok kerana Adli tidak pernah tahu bapanya ada isteri lain, malah lebih mengejutkan mengetahui Reza yang merupakan pasangannya itu sebenarnya adik sebapa.

Dalam situasi itu, Adli amat bingung. Dia ditemui bapanya selepas tamat majlis tahlil. Bapanya mahu menjelaskan situasi sebenar kepadanya di hadapan Reza dan ibunya.

Namun, bapanya meminta kepadanya supaya merahsiakan perkara itu daripada ibu kerana hal ini akan menyebabkan pergaduhan yang besar.

Adli bersetuju dengan hal itu kerana dia juga tidak mahu hubungan ibu bapanya terjejas, namun dia pada masa sama bingung dengan situasinya bersama Reza yang sudah terlanjur berhubungan sejenis.

Tetapi pada akhirnya mereka membuat keputusan untuk memutuskan hubungan terlarang tersebut dan Adli juga masih tinggal bersama Reza tetapi sebatas hubungan abang dan adik.

Adli mengakui, dia dan Reza kini cuba berubah untuk tidak lagi terjebak hubungan sejenis dan mula mendekatkan diri dengan Allah SWT serta menghadiri usrah agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan