'Boleh ke pakai macam ini'.....

Latifah Ariffin dan Mahani Ishak 
bhnews@bh.com.my
Memakai anting-anting di luar tudung jadi trend fesyen pada saat ini. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: "Boleh ke pakai macam ini? Mempamerkan anting-anting dan rantai leher di luar tudung?

"Sebenarnya trend ini tidak boleh digayakan berikutan perhiasan seperti rantai dan subang pada asalnya perhiasan yang tersorok.

"Ini bermakna perhiasan yang sepatutnya dipakai di dalam (hijab) iaitu di telinga dan leher, jadi seseorang itu perlu menyembunyikannya daripada pandangan umum," menurut satu video pendek yang dimuat naik di Instagram 'Naseehatbooks'.

Video berdurasi 41 saat itu membangkitkan persoalan mengenai gaya wanita berhijab yang semakin cenderung menggayakan perhiasan di luar hijabnya.


View this post on Instagram

A post shared by NASEEHAT BOOKS (@naseehatbooks)

Menurut keterangan video itu, trend masa kini memperlihatkan ramai wanita cenderung menggayakan trend pemakaian anting-anting dan rantai leher meskipun daripada kalangan mereka yang berhijab.

Ia termasuk menggayakan hijab yang menampakkan perhiasan subang atau memakai rantai di luar tudung.

Namun, ada juga wanita memakai rantai leher di dalam pakaian, tetapi perhiasan itu jenis labuh sekali gus menampakkannya terkeluar daripada hijab.

"Jadi persoalannya gaya sedemikian dibolehkan atau bagaimana?

"Sebenarnya gaya ini tidak boleh. Ini kerana aksesori sedemikian asalnya perhiasan yang tersorok.

"Ini bermakna jika perhiasan itu sekiranya perlu dipakai di dalam iaitu di telinga dan leher, maka seseorang itu perlu menyembunyikan daripada pandangan umum.

"Tidak boleh ditayang-tayang (kepada umum)," katanya.

Hakikatnya, trend penggayaan aksesori perhiasan seperti anting-anting dan rantai leher sudah jadi semakin sinonim dalam kalangan wanita berhijab.

Kelaziman ini sering dilihat dalam kalangan selebriti dan pempengaruh berhijab hingga ramai wanita terikut-ikut gaya itu.

Mengulas isu ini, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Meeftah Anuar, menegaskan hukum memakai perhiasan di luar pakaian adalah haram.

Katanya, sewajarnya trend fesyen dalam kalangan wanita Islam perlu memenuhi tuntutan menutup aurat secara menyeluruh termasuk memastikan perhiasan digayakan selari dengan panduan syarak.

"Memakai perhiasan di luar pakaian yang asalnya berada di bahagian dalam seperti rantai dan anting-anting adalah haram.

"Amalan ini dilihat seolah-olah sudah sebati dan dilazimi Muslimah hari ini, justeru ia perlu diperbetulkan semula," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, katanya, ia selari dengan firman Allah SWT: "... Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang nampak zahir darinya..." (An-Nur:31)

"Imam al-Tabari ketika mentafsir ayat itu membahagikan perhiasan wanita kepada dua kategori iaitu pertama, perhiasan yang disembunyikan seperti anting-anting, subang, rantai leher dan selainnya.

"Kedua pula adalah perhiasan yang boleh diperlihatkan seperti pakaian, cincin, gelang pada pergelangan tangan dan selainnya," katanya.

Tambahnya, Imam al-Tabari membuat kesimpulan bahawa apa sahaja perhiasan yang asalnya disembunyikan, maka ia dilarang untuk diperlihatkan kepada bukan mahram.

Oleh itu, tegasnya, wanita yang memperlihatkan aksesori seperti anting-anting atau rantai kepada selain daripada mahram adalah ditegah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan