Dirogol bapa kandung: Kami tak mahu lagi jumpa bapa' - warkah dua beradik dibaca di mahkamah

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
BAPA rogol dan cabul dua anak kandung dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar. FOTO Alias Abd Rani
BAPA rogol dan cabul dua anak kandung dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Kami tak mahu lagi jumpa bapa. Dia buat kami trauma, takut dan benci padanya. Kami berasa jijik atas perbuatannya terhadap kami," itulah antara warkah ditulis dua beradik susulan menjadi mangsa nafsu serakah bapa kandungnya pada April dan bulan lalu.

Warkah itu ditulis dua beradik berusia 11 dan 14 tahun, dibaca pihak pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sayani Mohd Nor sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun dan 13 sebatan terhadap lelaki terbabit.

Ketika prosiding itu, tertuduh mengaku salah terhadap dua pertuduhan, hanya berdiam diri serta mengangguk ketika mahkamah memberitahu hukuman bakal dikenakan terhadapnya.

Tertuduh yang berusia 45 tahun, bekerja sebagai pemasang jubin didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 kerana mencabul dan merogol dua anak kandung perempuannya.

Kedua-dua perbuatan itu berlaku di kediaman keluarga itu di Batu Pahat antara 2.30 hingga 4 petang, 28 Ogos lalu serta sekitar April tahun ini.

Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat ibu mangsa yang juga isteri tertuduh pada 10 malam, 28 Ogos lalu memaklumkan dua anak mereka dirogol dan dicabul tertuduh.

Dalam laporan itu, mangsa memberitahu dia dirogol sebanyak dua kali dalam tempoh kurang tiga jam ketika sedang baring di ruang tamu rumah.

Kejadian itu disaksikan adik mangsa yang juga mangsa cabul yang baru pulang dari sekolah, melalui tingkap sebelum kakaknya meminta pertolongan.

Selepas menyedari kehadiran salah seorang anaknya, tertuduh menghentikan perbuatan itu namun 'menyambung' perbuatan itu semula beberapa jam kemudian, namun mangsa hanya berdiam diri kerana ketakutan.

Ibu mangsa bekerja di kedai jahit pulang ke rumah pada 5.30 petang, melihat dua anaknya dalam keadaan sedih dan gelisah sebelum bertanyakan perkara sebenar.

Mangsa menceritakan kejadian itu sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada hari sama dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan mangsa dirogol.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan rogol manakala tujuh tahun dan tiga sebatan untuk kes amang seksual fizikal.

Mahkamah memutuskan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan pada 29 Ogos lalu.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling ketika dalam tahanan serta pengawasan polis dua tahun sebaik selesai dipenjara, selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan