JPPK diarah buat laporan polis terhadap pemilik TikTok ‘Abang Bas’

HARRITH HISHAM
Tangkap layar antara kandungan yang dimuat naik di TikTok 'Abang Bas'.
PETALING JAYA – Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik video kanak-kanak di media sosial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perlakuan merakam dan memuat naik video kanak-kanak di media sosial adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.

“Saya telah mengarahkan JPKK untuk membuat laporan polis dengan segera dan kami bersedia bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor,” katanya menerusi hantaran di laman X, hari ini.

Sebelum ini, seorang pengguna X melahirkan kebimbangan terhadap kandungan yang dimuat naik di TikTok ‘Abang Bas’ yang memaparkan gelagat murid perempuan sekolah rendah di dalam kenderaan tersebut.

Menerusi hantarannya, @JatIkhwan mempersoalkan tindakan serta tajuk kapsyen yang digunakan lelaki itu.

“Kamu tidak boleh siarkan (video) anak perempuan seseorang yang masih sekolah rendah dengan kapsyen ‘hari ini crush kita buat homework’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan