Kebakaran khemah Pesta Layang-Layang Sungai Buaya: Dibakar atau terbakar?

Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
Sebahagian khemah utama Pesta Layang-Layang dan Yok Turun Ke Sawah Muo 2024 di Sarang Buaya, Sungai Balang, yang terbakar. - Foto NSTP/ ALIAS ABD RANI
Sebahagian khemah utama Pesta Layang-Layang dan Yok Turun Ke Sawah Muo 2024 di Sarang Buaya, Sungai Balang, yang terbakar. - Foto NSTP/ ALIAS ABD RANI
MUAR: Program Pesta Layang-Layang dan Yok Turun Ke Sawah Muo 2024 di Sarang Buaya, di sini hampir dibatalkan susulan khemah utama terbakar, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim berkata, kejadian itu disedari sekitar jam 7 pagi namun belum dipastikan sama ada berpunca perbuatan khianat atau sebaliknya.

Beliau berkata, pesta yang berlangsung hari ini berjalan seperti biasa seperti dirancangkan.

"Kalau ada unsur khianat, saya mohon pihak berkuasa ambil tindakan, kita menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

"Justeru, jika ada unsur khianat terhadap khemah program ini, jelaslah ia satu tindakan tidak bermoral dan tidak bertamadun dalam aspek bernegara.

"Perbuatan ini menyebabkan kerugian besar terhadap aset kerajaan dan penyedia perkhidmatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Program Pesta Layang-Layang dan Yok Turun Ke Sawah Muo 2024 yang juga acara tahunan diadakan sejak semalam dan berakhir hari ini, menyaksikan berlangsungnya pertandingan ratusan layang-layang sekali gus menjadi salah satu aktiviti pelancongan di kawasan itu.

Selain itu, beberapa acara sampingan diadakan untuk pengunjung seperti pertandingan tarik tali bendang dan menangkap itik yang menjadi tradisi bagi masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, Selamat berkata, beliau bersyukur kerana sambutan menggalakkan terhadap acara tahunan itu walaupun sedikit terjejas kesan insiden itu yang sedikit sebanyak menggugat kelancaran program.

Katanya, susulan itu, satu laporan polis dibuat atas insiden ini oleh Ketua Kampung Parit Yusof pagi ini.

"Alhamdulillah atas tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, mereka berjaya mengawal kebakaran daripada meranapkan seluruh khemah dan pentas utama program.

"Persiapan program disusun rapi adalah bagi membolehkan pihak berkenaan mempromosikan kawasan sawah Sungai Balang bagi daya tarikan pelancongan dan ekonomi rakyat setempat.

"Sememangnya, perbuatan khianat ini perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa bagi memberikan pengajaran kepada pelaku supaya mereka tahu negara ini ada undialah negara hukum," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat pagi tadi dan kes masih dalam siasatan pihak bomba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan