Kematian tebusan, Israel berdepan bantahan 500,000 penunjuk perasaan

BHarianonline 
Rakyat Israel mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Tel Aviv, semalam. - FOTO REUTERS
Rakyat Israel mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Tel Aviv, semalam. - FOTO REUTERS
BAITULMAQDIS: Israel dicengkam ketegangan kian memuncak apabila dianggarkan 500,000 penunjuk perasaan mengadakan bantahan besar-besaran, semalam, susulan penemuan enam mayat tebusan di Gaza.

Protes itu menzahirkan kekecewaan dan kemarahan rakyat yang semakin tidak dapat dibendung terhadap kepimpinan Israel kerana gagal mencapai perjanjian gencatan senjata untuk memastikan pembebasan tebusan warga mereka.

Media Israel menganggarkan hingga setengah juta penunjuk perasaan mengadakan bantahan keras di Baitulmaqdis, Tel Aviv dan bandar lain dengan menuntut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, meningkatkan usaha membawa pulang baki 101 tebusan. Israel menganggarkan kira-kira satu pertiga daripada mereka telah maut.

Malah, pemimpin-pemimpin buruh turut menggesa golongan pekerja untuk mengadakan mogok umum sehari, hari ini.
Pasukan Polis menggunakan pancutan air untuk menghalang penunjuk perasaan diTel Aviv. - Foto Reuters
Pasukan Polis menggunakan pancutan air untuk menghalang penunjuk perasaan diTel Aviv. - Foto Reuters
Terdahulu, tentera Israel mengumumkan penemuan enam mayat tebusan dalam sebuah terowong di bandar Rafah, tatkala kempen vaksinasi polio bermula di Gaza dan keganasan terus meningkat di Tebing Barat yang diduduki susulan serangan berskala besar oleh pasukan rejim Zionis.

Jurucakap tentera, Rear Admiral Daniel Hagari, dilaporkan berkata mayat tebusan dikenal pasti sebagai Carmel Gat, Hersh Goldberg-Polin, Eden Yerushalmi, Alexander Lobanov, Almog Sarusi dan Ori Danino, telah dibawa pulang ke Israel.

Demonstrasi di Baitulmaqdis menyaksikan penunjuk perasaan melakukan sekatan di jalan raya dan mengadakan bantahan di luar kediaman Netanyahu.

Rakaman dari udara menunjukkan lebuh raya utama di Tel Aviv dibanjiri penunjuk perasaan yang membawa bendera dan gambar tebusan.
Polis sedang memantau penunjukkan perasancanti kerajaan. - Foto AFP
Polis sedang memantau penunjukkan perasancanti kerajaan. - Foto AFP
Menurut polis, puluhan rakyat telah ditahan di seluruh Israel, setakat ini.

Netanyahu kini berdepan tekanan desakan semakin kuat supaya menamatkan peperangan yang berlarutan hampir 11 bulan itu, dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan baki tebusan.

Bagaimanapun, Netanyahu berkata, Israel tidak akan berhenti sehinggalah dapat menangkap mereka yang bertanggungjawab atas kematian tebusan terbabit.

Pegawai kanan kumpulan pejuang Hamas pula menegaskan Israel yang harus dipersalahkan atas kematian itu berikutan enggan menandatangani perjanjian gencatan senjata.

"Netanyahu bertanggungjawab atas pembunuhan tahanan warga Israel. Rakyat Israel harus memilih antara Netanyahu dengan perjanjian itu," kata pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, kepada Reuters.

Di tengah-tengah kemarahan awam yang semakin memuncak, ketua persekutuan kesatuan sekerja Israel, Arnon Bar-David, semalam menggesa supaya mogok umum diadakan pada hari ini bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya menandatangani perjanjian.

Justeru, katanya, Lapangan Terbang Ben Gurion yang juga hab pengangkutan udara utama Israel, ditutup mulai jam 8 pagi.
Polis menangkap penunjuk perasaan yang agresif. - Foto AFP
Polis menangkap penunjuk perasaan yang agresif. - Foto AFP
Penunjuk perasaan bertindak membakar harta awam sekitar Tel Aviv. - Foto Reuters
Penunjuk perasaan bertindak membakar harta awam sekitar Tel Aviv. - Foto Reuters
Dalam pada itu, Forum Keluarga Tebusan turut mendesak Netanyahu untuk bertanggungjawab dan menjelaskan sebab pihaknya enggan menandatangani perjanjian.

Menurutnya, kesemua enam tebusan itu baru saja dibunuh, di mana penangguhan menandatangani perjanjian terbabit membawa kepada kematian mereka dan tebusan lain. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan