Lantai jeti runtuh, warga emas maut dihempap lori terbalik

Togi Marzuki
Keadaan lori yang terbalik dan menghempap seorang lelaki warga emas di Jeti Kukup Laut, hari ini. - Foto ihsan polis
Keadaan lori yang terbalik dan menghempap seorang lelaki warga emas di Jeti Kukup Laut, hari ini. - Foto ihsan polis
bhnews@.com.my
PONTIAN: Seorang lelaki warga emas maut akibat dihempap sebuah lori yang terbalik apabila sebahagian lantai konkrit di Jeti Kukup Laut runtuh secara tiba-tiba, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 pagi yang memaklumkan insiden berlaku ketika mangsa berusia 64 tahun itu sedang melakukan kerja memunggah air batu di lori terbabit.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila lantai jeti konkrit di mana lori itu sedang parkir, tiba-tiba runtuh menyebabkan kenderaan dengan muatan air batu itu terbalik lalu menghempap mangsa.

"Tiada sebarang unsur jenayah dikesan, dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Shahibul Hamdi Derama, melalui talian 018-2714199.

Sementara itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Mohd Hasnan, berkata 11 anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada jam 6.51 pagi.

Beliau berkata, pasukan menggunakan alat khas untuk mengeluarkan lelaki itu sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi penyelamatan ditamatkan pada jam 9.21 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan